PETALING JAYA: Seorang juruukur sambilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan mengabaikan kebajikan 77 ekor kucing sehingga menyebabkan haiwan itu kebuluran dan mati, Mac lalu.
Pengakuan itu dibuat Lee Reo Jin, 49, selaku orang kena saman (OKS), selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Noor Ruzilawati Mohd. Nor.
Bagi pertuduhan pertama, wanita itu didakwa meninggalkan 36 ekor kucing hidup dalam keadaan yang boleh menyebabkan haiwan berkenaan mengalami kesakitan akibat kebuluran di sebuah unit pangsapuri di Persiaran Mulia, Subang Jaya pada Mac 2026.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 29(1)(p) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 29(1) akta sama.
Mengikut pertuduhan kedua, dia didakwa sebagai pemilik telah menyebabkan kematian 41 ekor kucing yang tidak berupaya di lokasi dan tarikh yang sama.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Subseksyen 29(1)(r) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 29(1) akta sama.
Kedua-dua pertuduhan itu memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, ika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Negeri Selangor, Mohd. Sharif Sabran menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan penyerahan pasport kepada mahkamah.
Bagaimanapun, Reo Jin yang tidak diwakili peguam memohon agar jumlah jaminan dikurangkan atas alasan dirinya tidak mempunyai pendapatan tetap.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin terhadap Reo Jin beserta syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 28 Julai ini.
Pada 13 Mac lalu, serbuan DVS Selangor di sebuah unit pangsapuri di Subang Jaya menemukan 41 bangkai kucing yang mereput, termasuk 31 bangkai yang dibungkus dalam plastik dan disimpan di dalam peti sejuk beku, manakala 10 lagi di ruang tamu serta dalam sangkar.
Serbuan yang dilakukan susulan aduan penduduk yang tidak tahan dengan bau busuk dari unit berkenaan turut menjumpai 36 ekor kucing masih hidup di dalam sangkar dalam keadaan kurus dan tidak bermaya, dipercayai akibat tidak diberi makanan secukupnya. – UTUSAN










