Kemusnahan perang tidak halang penduduk Gaza rai Ramadan

Kemusnahan akibat perang tidak halang penduduk Gaza sambut Ramadan

Kanak-kanak Palestin di Rafah bermain hiasan lampu sempena kedatangan Ramadan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ramadan di Gaza kali ini tetap disambut meriah oleh umat Islam walaupun berdepan dengan ancaman kebuluran dan serangan bertubi-tubi oleh tentera Israel.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, rakyat Malaysia yang terkandas di Gaza sebelum ini, Nurul Ain Haron berkata, kanak-kanak di sana seperti ‘melupakan sekejap’ penderitaan dan kesedihan yang mereka alami apabila sibuk menghias khemah yang kini dijadikan sebagai rumah sementara mereka dengan lampu berwarna-warni.

“Walaupun kehilangan rumah dan tempat berteduh, semangat untuk menyambut bulan Ramadan tidak pernah luntur, mereka tetap bersemangat menjalani ibadah itu dengan hati yang terbuka,” katanya.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan berpuluh-puluh aktivis Israel memandu ke arah sempadan Gaza sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin sambil membawa bantuan makanan dan memakai baju T tertera slogan ‘Jangan biar Gaza kelaparan’.

Mereka mula berkumpul di stesen kereta api di Tel Aviv untuk membungkus lampin, susu formula bayi, gula, tepung, hidangan siap masak dan kurma yang disediakan kepada penduduk Palestin di Gaza bagi menyambut bulan Ramadan.
Konvoi 30 kenderaan itu sampai dalam jarak tiga kilometer dari lintasan sempadan Kerem Shalom sebelum polis Israel mengarahkan mereka berpatah balik.
Menurut Nurul Ain, rakyat di Gaza juga masih lagi tidak mendapat bantuan bekalan makanan yang secukupnya dan situasi itu dijangka amat mencabar selepas Ramadan bermula.

“Mereka memang tidak cukup bekalan makanan. Kalau hari ini mereka sahur, mungkin petang mereka tidak dapat berbuka,” jelasnya.

Dalam pada itu, menerusi laporan daripada Agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk pelarian Palestin (UNRWA) mengatakan penduduk di Gaza akan berhadapan dengan ancaman kebuluran pada Ramadan.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 31,045 rakyat Palestin terbunuh dan 72,654 cedera dalam serangan Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×