KUALA LUMPUR: Jualan diesel di stesen minyak di Sabah dan Sarawak mencatatkan peningkatan sehingga mencecah kira-kira 200 juta liter sebulan pada Mac dan April tahun ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, angka itu dianggarkan hampir dua kali ganda lebih tinggi berbanding penggunaan sepatutnya berdasarkan jumlah kenderaan diesel berdaftar di kedua-dua wilayah berkenaan.
Katanya, pelaksanaan penetapan harga runcit diesel tanpa subsidi di seluruh negara merupakan antara langkah penting bagi membendung ketirisan serta memastikan bekalan lebih tersusun di pasaran.
“Pembaharuan BUDI Madani membawa dua impak utama iaitu memastikan kelangsungan bekalan diesel terjamin di pasaran negara, selain rakyat terus menikmati diesel pada harga yang lebih rendah.
“Pada masa sama, ketirisan akibat penyeludupan dan penyalahgunaan oleh bukan warga negara serta pihak industri dapat dibendung dengan lebih berkesan apabila harga di pam ditetapkan pada harga pasaran sekali gus menjamin kelangsungan bekalan dalam pasaran negara,” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) yang meminta kerajaan menyatakan rasional di sebalik pengumuman kerajaan yang menyeragamkan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.
Amir Hamzah berkata, pelaksanaan semula subsidi bersasar itu turut dijangka menjimatkan perbelanjaan kerajaan sehingga RM2 bilion setahun.
Dalam pada itu, beliau berkata, data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan lebih 80 peratus pengguna diesel mencatat penggunaan di bawah 200 liter sebulan dengan purata sekitar 140 liter.
Bagaimanapun katanya, kerajaan turut mengambil kira keperluan pengguna di kawasan pedalaman serta peniaga kecil yang bergantung kepada kenderaan pacuan empat roda dan kenderaan komersial ringan.
“Sehubungan itu, kerajaan menyediakan kelayakan tambahan BUDI Madani diesel sebanyak 100 liter yang boleh dipohon. Dengan had kelayakan sehingga 300 liter sebulan, ia adalah mencukupi untuk majoriti rakyat,” katanya. – UTUSAN










