PETALING JAYA: Sebanyak 43 kenderaan yang dipandu oleh warga asing telah disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur dalam Operasi Pemandu Warga Asing (PeWA) Bil. 3/2026 yang dijalankan di sekitar Taman Rekreasi Kampung Tasik Tambahan, Ampang
Operasi itu bermula kira-kira pukul 7.30 pagi hingga 12.30 tengah hari dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) susulan risikan selama seminggu bermula 18 Jun lalu.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, operasi itu dilakukan selepas aduan orang ramai mengenai kegiatan warga asing memandu tanpa lesen di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, sebanyak 83 kenderaan diperiksa sepanjang operasi berkenaan dengan 199 notis saman dikeluarkan dan 43 kenderaan disita atas pelbagai kesalahan lalu lintas serta teknikal.
“Kenderaan yang disita melibatkan pemandu warga asing dari Myanmar seramai 17 orang, Indonesia (8), Bangladesh (7), Pakistan (7) dan India (4),” katanya pada sidang akhbar selepas operasi itu.
Hamidi berkata, daripada jumlah kenderaan yang disita, 12 adalah milik warga tempatan yang disewakan kepada warga asing, membabitkan empat kenderaan roda tiga dan lapan motosikal.
Jelasnya, pemilik kenderaan berdaftar tidak seharusnya membenarkan warga asing memandu kenderaan mereka tanpa lesen sah atau menyalahgunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi tujuan perniagaan kerana tindakan tegas akan dikenakan terhadap pemilik berkenaan.
“Hasil siasatan turut mendapati kadar sewaan kenderaan kepada warga asing lazimnya antara RM400 hingga RM500 sebulan, dengan kenderaan terbabit digunakan bagi menjalankan pelbagai perniagaan termasuk besi buruk, aiskrim, roti, barang lusuh dan menjual ayam hidup,” jelasnya.
Beliau berkata, operasi itu memberi tumpuan kepada kesalahan lesen memandu, cukai jalan, perlindungan insurans serta pematuhan spesifikasi teknikal kenderaan bagi memastikan aspek keselamatan berada pada tahap ditetapkan.
Ujarnya, semua kenderaan yang disita akan dibawa ke depoh JPJ di Wangsa Maju dan hanya akan dilepaskan selepas proses perundangan serta keputusan mahkamah selesai.
“Mana-mana warga asing yang tidak memiliki lesen memandu atau lesen vokasional akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 26(1) dan Seksyen 57 Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala kesalahan ubah suai teknikal diambil tindakan di bawah Seksyen 6(1) akta sama.
“Bagi kenderaan yang tidak mempunyai perlindungan insurans, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 90(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.
Hamidi berkata, pemilik kenderaan berdaftar bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kenderaan masing-masing dan tidak seharusnya membenarkan warga asing menggunakan kenderaan mereka tanpa lesen yang sah bagi tujuan komersial.
Katanya, tindakan penguatkuasaan itu penting bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta mengelakkan penyalahgunaan kenderaan yang boleh menjejaskan hak mangsa sekiranya berlaku kemalangan melibatkan kenderaan yang tidak mempunyai perlindungan insurans. – UTUSAN










