SEPANG: Rata-rata jemaah haji yang menggunakan perkhidmatan Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. berpuas hati dengan pengalaman menunaikan ibadah di Tanah Suci tahun ini, susulan pelbagai penambahbaikan kemudahan dan pengurusan yang dilaksanakan.
Penolong Pengurus Bahagian Haji Andalusia, Khairul Sani Zamberi berkata, maklum balas diterima daripada kebanyakan jemaah adalah positif, sekali gus mencerminkan kelancaran operasi haji yang dikendalikan syarikat itu tahun ini.
Menurutnya, antara aspek yang mendapat perhatian jemaah adalah kemudahan di Masyair seperti tandas yang lebih selesa serta khemah dilengkapi ‘sofa bed’ yang membantu meningkatkan keselesaan ketika kemuncak ibadah haji.
“Alhamdulillah, kebanyakan jemaah berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan sama ada oleh Andalusia, Tabung Haji mahupun pihak muassasah. Penambahbaikan yang dilakukan tahun ini memberi impak yang sangat positif kepada jemaah,” katanya.
Khairul Sani berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyambut ketibaan kumpulan kedua dan terakhir jemaah haji Andalusia bagi penerbangan KT079B dari Madinah yang melibatkan seramai 118 jemaah termasuk dua petugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini hari ini.
Jelasnya, secara keseluruhan seramai 488 jemaah berjaya menyempurnakan ibadah haji musim ini dengan selamat serta lancar.
Tambahnya lagi, kejayaan itu turut didorong kerjasama erat antara Andalusia, Lembaga Tabung Haji dan syarikat muassasah yang sentiasa berusaha menambah baik mutu perkhidmatan kepada jemaah dari semasa ke semasa.
“Sudah tentu terdapat beberapa cabaran kecil sepanjang operasi haji, namun ia berjaya ditangani dengan baik melalui penerangan berterusan kepada jemaah dan akan dijadikan panduan untuk penambahbaikan pada musim akan datang,” katanya. – UTUSAN










