Jaslinda tidak tinggalkan solat sepanjang tersesat - Utusan Malaysia

Jaslinda tidak tinggalkan solat sepanjang tersesat

JASLINDA Saludin berjalan menggunakan topang ketika keluar dari Hospital Tapah hari ini. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Jaslinda Saludin, 49, yang ditemukan selamat selepas hilang selama 14 hari di Gunung Batu Putih di sini tidak pernah meninggal solat sepanjang tersesat di dalam hutan.

Menurut suaminya, Haszman Othman, 61, isterinya memberitahu tidak pernah meninggal solat sepanjang dua minggu hilang.

“Dia tunaikan solat lima kali sehari. Dia cuma menghitung hari yang berapa hari dia ada berpandukan pada matahari.

“Dia berserah kepada Allah SWT. Bagi saya memang dia berserahlah. Bila dia seorang diri dalam hutan, tiada orang lain, tak ada manusia, itu antara dia dengan Allah,” katanya di Hospital Tapah di sini hari ini.

Katanya, Jaslinda juga berzikir kepada Allah SWT sepanjang berjalan di hutan.

Berhubung bagaimana Jaslinda melelapkan mata, Haszman berkata, isterinya tidur dengan menggunakan plastik sampah untuk menutupi keseluruhan badannya.

“Itulah hutan rimba, binatang buas pun ada tapi Allah tak bagi jumpa dia. Mungkin berkat solat dia.

“Saya tak tahu, betul-betul saya cakap. Antara dia dengan Allah saja yang tahu benda tu. Fikir balik, kenapa Allah pilih dia? Kenapa Allah tak pilih kita?,” katanya.

Jaslinda telah dua kali menunaikan umrah sebelum ini.

“Memang kita ada cadang nak pergi haji nanti. Solat itu yang betul-betul terkesan sebab dia memang tak tinggal.

“Kadang-kadang saya pergi Terengganu, pergi Kuantan nak menyelam sama-sama dengan dia solat tidak tinggal. Solat kena rutin (bagi Jaslinda),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN