PETALING JAYA: Dilahirkan dalam keluarga yang hidup serba sederhana tidak pernah memalukan Ratu Balqis, namun penyanyi itu berharap ahli keluarganya tidak terus menjadi mangsa penghinaan dan kecaman di media sosial.
Balqis atau Nor Balqis Ahmad Tajudin, 27, berkata, dia sedar dirinya tidak dilahirkan dalam keluarga yang kaya dan sejak kecil menjalani kehidupan yang sederhana bersama keluarga tercinta.
“Saya tahu saya tidak dilahirkan dalam keluarga yang kaya dan saya sentiasa menjalani kehidupan yang sederhana. Tetapi satu perkara yang ibu bapa saya berikan ialah sesuatu yang tidak boleh dibeli dengan wang, iaitu rasa hormat, nilai-nilai murni dan hati yang penuh kasih sayang.
“Sejak kecil saya bekerja keras dan menggunakan wang yang saya peroleh daripada nyanyian untuk membantu serta menjaga ibu bapa saya. Saya tidak pernah malu dengan asal-usul saya,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Dalam pada itu, Balqis meminta mana-mana pihak yang mempunyai masalah atau rasa tidak puas hati terhadap dirinya supaya tidak melibatkan ahli keluarganya dalam perkara tersebut.
“Jangan menghina keluarga saya. Jika anda mempunyai masalah dengan sesiapa, lepaskan kepada saya sahaja.
“Tinggalkan ibu bapa saya, adik-beradik saya dan anak saya. Mereka tidak sepatutnya menjadi sasaran,” ujarnya.
Tambah Balqis, ahli keluarganya tidak pernah melakukan sebarang kesalahan sehingga wajar menerima penghinaan atau layanan tidak hormat daripada orang lain.
“Mereka tidak pernah berbuat salah kepada anda. Mereka tidak layak menerima penghakiman, penghinaan atau sikap tidak hormat daripada sesiapa.
“Tiada seorang pun daripada mereka yang layak diperlakukan sedemikian. Dan sejujurnya, saya juga tidak layak menerimanya,” katanya.
Terdahulu, Balqis meluahkan perkara tersebut menerusi satu hantaran selepas dipercayai berdepan komen negatif yang turut mengaitkan ahli keluarganya.
Untuk rekod, Balqis ialah bekas peserta program nyanyian Mentor Milenia 2017 serta merupakan protege kepada penyanyi Hazama. -UTUSAN










