PONTIAN: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan bahawa Kerajaan Johor akan terus bergerak seiring dengan Kerajaan Persekutuan jika gabungan itu kembali diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, kestabilan politik dan kesinambungan kepimpinan merupakan asas penting bagi memastikan pembangunan negeri dapat diteruskan dengan lebih berkesan demi kepentingan rakyat.
“Saya yakin, jika mandat diberikan kepada calon-calon kita dan negeri Johor terus ditadbir dengan sokongan kepada calon-calon yang kita pilih, tidak timbul soal bahawa Kerajaan Negeri Johor kononnya tidak akan bersama-sama dengan Kerajaan Pusat.
“Saya memberi jaminan jika mandat diberikan semula, Kerajaan Negeri Johor yang dipimpin oleh sahabat kita akan terus bersama-sama dengan Kerajaan Pusat demi kepentingan seluruh rakyat Johor,” katanya pada Majlis Perjumpaan Kakitangan Kemas Negeri Johor di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Dr Ismail, Pontian di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Datuk Hanafiah Man.
Ahmad Zahid berkata, rakyat tidak seharusnya terpengaruh dengan dakwaan bahawa hanya parti tertentu mampu memastikan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan.
“Saya ingin sebutkan bahawa Kerajaan Johor yang akan dibentuk, apatah lagi jika diberikan mandat yang lebih besar, saya dan kita akan memastikan kerajaan ini terus selari dengan Kerajaan Pusat di Putrajaya.
“Jangan mainkan isu bahawa rakyat hanya perlu memilih mereka yang datang daripada gabungan atau parti yang sama. Kita juga berada dalam gabungan yang sama,” katanya yang menggesa semua pihak berkempen secara matang dan berhemah sepanjang tempoh 14 hari.
Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan jabatan serta agensi kerajaan yang terlibat dalam memastikan kelancaran serta keselamatan proses pilihan raya.
Beliau turut memuji peranan KEMAS dan menyatakan hasrat supaya skim gaji warga KEMAS dapat ditambah baik melalui cadangan yang akan dikemukakan kepada kerajaan.-UTUSAN










