KUALA LUMPUR: Permintaan pembinaan jalan penghubung baharu di luar bandar Sabah dan Sarawak yang masih belum mempunyai akses ke bandar utama akan dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2027.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid berkata, pembinaan jalan luar bandar kekal menjadi tanggungjawab di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri KKDW berkata, pelaksanaan projek infrastruktur baharu itu masih tertakluk kepada peraturan dan prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Jika tidak ada keterhubungan, maka sebarang permintaan itu akan kita masukkan dalam Bajet 2027.
“KKDW akan memperincikan cadangan berkenaan selepas proses perundingan dengan pihak berkaitan selesai,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perkhidmatan Cemerlang dan Apresiasi Kementerian KKDW Tahun 2025 di Hotel Premiera hari ini.
Ahmad Zahid berkata, pihaknya akan memperkukuh penggunaan platform e-dagang bagi membantu usahawan luar bandar memasarkan produk ke pasaran antarabangsa, selaras dengan aspirasi Pelan Malaysia Digital yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Beliau berkata, KKDW sememangnya mempunyai program e-dagang yang memanfaatkan urusan pembelian dan penjualan secara dalam talian, malah inisiatif itu akan dipertingkatkan bagi meluaskan rangkaian pemasaran usahawan luar bandar.
“Apabila dasar ini dilaksanakan untuk kegunaan rakyat, KKDW yang sedia mempunyai program ini akan mempertingkatkan pembelian dan juga saluran pemasaran melalui platform dalam talian,” katanya.
Mengulas mengenai pembangunan kecerdasan buatan (AI), beliau berkata, KKDW telah memulakan latihan dalam bidang itu di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) serta institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MARA, selain turut memperluaskan penawaran kepada bidang bernilai tinggi seperti Internet Pelbagai Benda (IoT) dan robotik.
Menurutnya, langkah itu akan diperkukuh menerusi kerjasama dengan pihak industri bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET di bawah KKDW yang kini mencecah 99.5 peratus, selain membolehkan pelatih menerima tawaran pekerjaan daripada pemain industri termasuk syarikat asing, sebelum menamatkan pengajian.- UTUSAN








