KUALA LUMPUR: Siasatan oleh Jabatan Cyber Security Petronas mengesahkan bahawa seorang bekas pengurus syarikat cari gali itu telah membocorkan maklumat berkaitan perniagaan dan struktur kewangan syarikat minyak nasional itu kepada Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) pada 8 Jun 2024.
Siasatan yang dilakukan bersama Jabatan Sumber Manusia dan Bahagian Kewangan Petronas dilakukan selepas mendapat laporan mengenai perkara itu yang membabitkan Mohd Khairul Akmal Md Jasni, 41.
Menurut saksi pertama pendakwaan, Jumsuri Basri, 41, pada ketika itu, Mohd Khairul Akmal memegang jawatan sebagai Pengurus (BU Performance) Petronas dan bertanggungjawab mengurus serta mengumpulkan laporan kewangan bagi perniagaan huluan (upstream) di dalam dan luar negara.
Terdahulu, Jumsuri yang juga Pengurus Kanan Perhubungan Perusahaan Petronas memberitahu bahawa dia telah endapat panggilan daripada wakil Whistle Blowing Committee (WBC) pada 6 Disember 2024 ketika berada di Menara Berkembar Petronas.
“Wakil tersebut kemudiannya menghantar emel bersama laporan daripada pemberi maklumat (whistleblower) serta dokumen yang didakwa telah dibocorkan.
“Selepas menerima maklumat tersebut, saya telah memaklumkan kepada pihak Sumber Manusia, bahagian Kewangan Petronas dan Jabatan Cyber Security Petronas bagi tujuan pengesahan dan tindakan lanjut,” katanya ketika membacakan pernyataan saksinya pada hari pertama perbicaraan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Marzuliana Abd. Rashid.
Katanya, hasil semakan mendapati pada lebuh kurang pukul 3.19 petang, 8 Jun 2024, Mohd Khairul Akmal telah menghantar satu dokumen sulit bertajuk “Q1 2024 Upstream Business Performance” melalui e-mel Petronas miliknya kepada alamat e-mel PETROS.
“Hasil semakan Cyber Security Petronas mengesahkan bahawa Mohd Khairul Akmal telah menghantar dokumen tersebut kepada PETROS pada 8 Jun 2024. Semakan juga mendapati beliau telah cuba menghantar emel tersebut pada jam 7.19 pagi tetapi gagal kerana saiz fail terlalu besar.
“Dokumen “Q1 2024 Upstream Business Performance” diklasifikasikan sebagai dokumen dalaman kerana setiap helaian dokumen tersebut ditandakan sebagai “Internal” dan tidak boleh dikongsi tanpa kebenaran Ketua Jabatan Kewangan dan Risiko Petronas Carigali Sdn. Bhd iaitu Cik Karima.
“Perbuatan tersebut telah mendedahkan maklumat berkaitan perniagaan dan struktur kewangan Petronas boleh mendatangkan kemudaratan kepada syarikat serta memberi kesan kepada kepentingan negara.
“Saya percaya dokumen berkenaan telah diamanahkan kepada beliau untuk dijaga kerahsiaannya,” ujarnya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Mohd Radzuan.
Ujarnya, Mohd Khairul Akmal telah digantung kerja bermula 9 Disember 2024 sehingga 8 Februari 2025 bagi membolehkan siasatan dalaman Petronas dijalankan.
Tambah saksi itu, Petronas mempunyai Code of 2 Conduct and Business Ethics (CoBE) yang menetapkan polisi disiplin dan tindakan terhadap mana-mana pekerja yang melakukan salah laku termasuk penyebaran maklumat sulit syarikat.
Sementara itu, ketika disoal balas oleh peguam bela, Louis Liaw Vern Xien, Jumsuri tidak bersetuju dengan cadangan pembelaan bahawa dia membuat laporan polis secara terburu-buru sedangkan siasatan masih belum diselesaikan.
Jumsuri juga tidak bersetuju dengan cadangan pembelaan bahawa dia telah menyebabkan Mohd. Khairul dtuduh secara salah di mahkamah.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Khairul Akmal ketika menjalankan tugas sebagai Pengurus Prestasi Unit Perniagaan Petronas, didakwa cuba mendedahkan maklumat dokumen Q1 2024 Upstream Business Performance Operational and Financial kepada Petros di antara pukul 3.19 hingga 3.21 petang, 8 Jun 2024 di Jalan Pinang, Dang Wangi di sini.
Lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 203A (1) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum setahun atau kedua-dua sekali.
Perbicaraan bersambung esok. – UTUSAN










