Insiden Tak Bai: Kawalan sempadan sentiasa ketat - Polis Kedah

Insiden Tak Bai: Kawalan sempadan sentiasa ketat – Polis Kedah

ADZLI Abu Shah (tengah) mengadakan lawatan ke Pondok Polis Jeniang yang beroperasi sementara bagi menggantikan Balai Polis Jeniang yang sedang dinaik taraf di Gurun, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis Kedah mengesahkan kawalan keselamatan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand berada pada tahap tinggi susulan perkembangan situasi keselamatan di selatan Thailand, termasuk insiden letupan yang berlaku di Tak Bai, semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, kawalan keselamatan di pintu sempadan telah dipertingkatkan sejak Februari lalu susulan perkembangan geopolitik dan konflik di Asia Barat.

Menurutnya, langkah itu bukan sahaja bertujuan menangani ancaman keselamatan malah membendung pelbagai aktiviti jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan migran dan bahan api.

“Sejak Februari lagi, disebabkan perkembangan geopolitik dan perang di Timur Tengah, kita memang telah memperketat kawalan sempadan.

“Bukan sahaja daripada sudut ancaman anasir subversif tetapi juga bagi membendung ketirisan, penyeludupan migran yang berterusan serta penyeludupan bahan api,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Pondok Polis Jeniang, di sini hari ini.

Mengulas insiden letupan di Tak Bai, beliau berkata, polis sentiasa memantau perkembangan semasa dan bersedia meningkatkan lagi kawalan sekiranya menerima maklumat risikan yang memerlukan tindakan tambahan.

“Setakat ini kawalan memang sudah ketat. Namun, apabila berlaku apa-apa kejadian, kita tidak boleh berasa selesa. Jika terdapat sebarang maklumat risikan yang memerlukan kawalan dipertingkatkan lagi, kita akan lakukan,” katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan keselamatan kepada pihak polis bagi membantu usaha pemantauan dan pencegahan.

Dalam pada itu, Adzli menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan perjalanan yang tidak perlu ke selatan Thailand buat masa ini.

“Kalau ada urusan atau keperluan, itu terpulang kepada masing-masing. Tetapi kalau sekadar hendak pergi berjalan-jalan, dengan keadaan ekonomi sekarang, lebih baik duduk di Malaysia dan berada di rumah,” katanya.

Semalam, dua rakyat Malaysia cedera selepas kenderaan pelbagai guna (SUV) dinaiki mereka terkena letupan bom buatan sendiri (IED) yang dipercayai ditanam di tepi jalan di Persimpangan Sapom, Daerah Tak Bai, di Narathiwat.

Sumber Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, mangsa dikenali sebagai Abdullah Syarapi Abd. Rahman, 45, dan Muhammad Yusri Udin, 38. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN