KOTA BHARU: Polis menasihatkan penduduk negeri ini menangguhkan sementara perjalanan ke selatan Thailand susulan dua rakyat Malaysia cedera selepas kenderaan pelbagai guna (SUV) dinaiki mereka terkena letupan bom buatan sendiri (IED).
Bom itu dipercayai ditanam di tepi jalan di Persimpangan Sapom, Daerah Tak Bai, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, keadaan keselamatan di wilayah berkenaan masih tidak stabil dengan insiden pengeboman dan serangan bersenjata berlaku secara kerap, sekali gus meningkatkan risiko kepada orang awam.
“Nasihat saya, kalau boleh tangguhkan dahulu perjalanan ke sana buat sementara waktu.
“Situasi keselamatan di sana masih tidak stabil. Kadang-kadang dalam tempoh seminggu berlaku empat hingga lima kejadian pengeboman dan tembakan, manakala dalam sebulan jumlahnya boleh mencecah berpuluh-puluh kes,” katanya ketika di hubungi di sini semalam.
Mohd. Yusoff memberitahu, awal tahun 2025, Wisma Putra telah mengeluarkan nasihat kepada rakyat Malaysia supaya menangguhkan perjalanan ke wilayah berkenaan. – UTUSAN










