Impian wanita anak tiga miliki rumah sendiri tercapai

Impian wanita anak tiga miliki rumah sendiri tercapai

NURUL Hasnida Mat Desa @ Ahmad (dua dari kanan) menerima replika kunci rumah yang dibina dengan bantuan kerajaan negeri Perak menerusi Yayasan Perak di bawah Program Sayangi Rumahku.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Seorang wanita di Kampung Tanjung Keramat di sini tidak menyangka impian untuk memiliki rumah yang selesa untuk dia dan tiga anaknya kini direalisasikan oleh kerajaan negeri menerusi Yayasan Perak di bawah inisiatif Program Sayangi Rumahku.

Nurul Hasnida Mat Desa @ Ahmad, 49 berkata, dia berpisah dengan bekas suami sebelum ini, membuatkan dia tabah mengharungi kehidupan demi memastikan kebajikan anak lelaki masing-masing berumur 23, 22 dan 17 tahun terus terpelihara.

“Bukan mudah tetapi saya kuatkan semangat kerana arwah ayah yang diserang penyakit strok dan arwah ibu yang gigih sebagai sumber idola. Kedua-dua mereka bekerja keras dalam serba kekurangan untuk membesarkan kami tujuh beradik.

“Saya mula berpindah dan menetap di rumah peninggalan arwah ibu di kampung pada hujung 2023 bersama anak-anak selepas bekerja di merata-rata bandar besar seperti Puchong, Shah Alam, Klang dan Kuala Lumpur,” katanya.

Dia yang menetap di rumah peninggalan arwah ibu mengakui selesa tanpa perlu membayar sewa bulanan. Namun, demi keselesaan anak-anak selain ingin memiliki rumah sendiri membuatkan dia memohon dengan Yayasan Perak menerusi Program Sayangi Rumahku.

“Sebelum ini, saya berniaga makanan dan minuman seperti oden, ramen, koktel, coconut shake di pasar-pasar malam sekitar Kampar, Teluk Intan dan Tapah selain berniaga semasa hari sukan di sekolah-sekolah sekitar daerah ini. Pendapatan tidak menentu dan biasanya kurang RM1,000.

“Mana mungkin boleh memiliki rumah sendiri dengan pendapatan sebegitu. Namun, pada awal Januari 2024 saya memohon Program Sayangi Rumahku dengan menyediakan dokumen yang lengkap dan permohonan itu diluluskan pada September tahun yang sama. Alhamdulillah saya sujud syukur,” katanya.

Menurutnya, rumah tersebut disiapkan pada Disember 2024 dan memahami urusan melibatkan pemasangan utiliti perlu diuruskannya sendiri.

“Kosnya sekitar RM3,000, namun saya turut berterima kasih kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) kerana memberikan bantuan bulanan sebanyak RM400 selain layak menerima bantuan beras secara berkala.

“Itu dapat mengurangkan kos perbelanjaan semasa selain dapat mengumpul wang untuk kos pemasangan utiliti. Nikmat kurniaan Allah SWT dan kerajaan negeri menerusi Yayasan Perak akhirnya memiliki rumah yang selesa bernilai RM79,000, berkeluasan 20×30 kaki persegi dengan tiga bilik dan satu bilik air serta tandas,” katanya.

Nurul Hasnida bertemu jodoh semula pada awal 2025 bersama lelaki pilihannya.

Program Sayangi Rumahku bertujuan menyediakan kemudahan asas dan kediaman selesa tanpa mengira latar belakang supaya penerima yang layak mendapat sebuah harapan baharu dalam menikmati kehidupan berkualiti tanpa melibatkan sebarang bayaran.

Inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Dr. Mohamad Yusri Bakir pula berbentuk kemudahan infrastruktur awam seperti jalan raya dan lampu jalan sekitar perkampungan tersebut.

Bantuan itu selaras dengan flagship keenam Membasmi Miskin Tegar 2025 dengan antara penerajunya ialah Yayasan Perak cetusan berwawasan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi membawa negeri ke arah kemajuan dan kondusif. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN