PETALING JAYA: Anak syarikat milik penuh iCents Group Holdings Berhad (iCents), VC Engineering Sdn. Bhd. (VC Engineering) memperoleh kontrak bernilai kira-kira RM6.95 juta (IDR30.27 bilion) di Indonesia.
Kontrak yang dianugerahkan oleh sebuah syarikat pembinaan yang berpangkalan di Indonesia itu adalah bagi menjalankan kerja-kerja pembekalan dan penghantaran produk pusat data di republik berkenaan.
Perjanjian yang mula berkuat kuasa pada 17 Jun 2026 itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan Kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 sehingga projek tersebut siap.
Pengarah Urusan iCents, Ir. Ts. Vincent Ong Mum Fei berkata, penganugerahan kontrak tersebut menjadi satu lagi peristiwa penting dalam usaha memperkukuh kehadiran syarikat dalam industri pusat data di Asia Tenggara.
“Indonesia merupakan salah satu pasaran infrastruktur digital yang paling menjanjikan di rantau ini dan pencapaian ini mencerminkan keupayaan kami menyediakan produk khusus untuk kemudahan misi kritikal.
“Memandangkan penggunaan kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan pendigitalan terus memecat, kami komited menyokong keperluan pengendali pusat data dengan penyelesaian kejuruteraan berkualiti tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif iCents, Foo Siang Leng berkata, kontrak tersebut mengukuhkan lagi portfolio projek serantau sekali gus menunjukkan keyakinan pelanggan terhadap keupayaan teknikal syarikat.
Syarikat pakar dalam reka bentuk, kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) itu akan terus fokus kepada penyampaian projek yang cekap di samping mengejar peluang tambahan dalam pasaran infrastruktur digital.
Langkah peluasan pasaran ke Indonesia ini secara tidak langsung membina momentum kukuh iCents selepas VC Engineering memeterai kerjasama strategik dengan firma China, Wuxi Yiding Zhizao Technology Co., Ltd., awal bulan ini.
Kerjasama itu bertujuan membangun dan menyediakan sistem penyejukan modular pasang siap serta penyelesaian pengurusan haba untuk projek infrastruktur pusat data di seluruh Asia Tenggara.
Selain itu, kumpulan tersebut baru-baru ini melancarkan Maytech Cleanroom Manufacturing Sdn. Bhd. di Mantin, Negeri Sembilan melibatkan pelaburan strategik sekitar RM15 juta bagi memperkukuh keupayaan pembuatan bilik bersihnya.
Kemudahan pengeluaran berkenaan dibina khusus bagi menyokong lonjakan permintaan daripada sektor pusat data, semikonduktor, farmaseutikal, dan industri berpesifikasi tinggi yang lain.
Melihat ke hadapan, iCents kekal optimistik terhadap prospek jangka panjang pasaran infrastruktur digital serantau yang disokong oleh pelaburan berterusan dalam pusat data hiperskala. -UTUSAN










