Heritage Colours Festival hidupkan kembali Stesen Keretapi Kuala Lumpur - Utusan Malaysia

Heritage Colours Festival hidupkan kembali Stesen Keretapi Kuala Lumpur

DATUK Seri Fadlun Mak Ujud melihat reruai pameran sempena Heritage Colours Festival di sini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Stesen Keretapi Kuala Lumpur kembali menjadi tumpuan menerusi The Heritage Colours Festival, program tiga hari yang mengangkat keindahan warisan, seni bina dan budaya negara.

Program bermula pada 26 hingga 28 Jun anjuran Perbadanan Aset Keretapi (RAC) yang berlangsung pada pukul 10 pagi hingga enam petang itu dilihat sebagai usaha menghidupkan semula ruang ikonik tersebut sebagai pusat aktiviti komuniti, seni dan pelancongan warisan di ibu kota.

Program itu turut mengetengahkan perkembangan usaha pemuliharaan dan pengaktifan Stesen Keretapi Kuala Lumpur sekali gus memperlihatkan potensinya sebagai ruang komuniti yang lebih bermakna.

Sepanjang penganjuran festival, pengunjung berpeluang menyertai pelbagai pengisian yang mengetengahkan seni, budaya dan warisan tempatan termasuk persembahan tarian tradisional, persembahan busker, jualan vendor tempatan, pertandingan mewarna, reruai kesihatan serta sesi pocket talk oleh konservator berdaftar yang terlibat secara langsung dalam kerja-kerja pemuliharaan
bangunan warisan tersebut.

Pengunjung turut berpeluang menyertai aktiviti seni dan kraftangan tradisional seperti mencanting batik, anyaman bakul, gubahan crochet, permainan tradisional dan menenun songket.

Program itu turut diserikan dengan Jelajah Warisan Kuala Lumpur yang disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud, bersama wakil daripada RAC, Jabatan Warisan Negara, Keretapi Tanah Melayu Berhad, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jabatan Warisan Negara, Think City serta komuniti setempat.

Menurut RAC, festival itu dianjurkan bagi mengangkat dan mempromosikan nilai sejarah, warisan serta
keunikan seni bina Stesen Keretapi Kuala Lumpur sebagai salah satu mercu tanda ikonik negara.

“Penganjuran ini diharap dapat memupuk penghargaan yang lebih mendalam terhadap khazanah sejarah negara selaras dengan aspirasi Warisan KL untuk menghidupkan semula warisan bandar Kuala Lumpur serta memperkukuh pertumbuhan pelancongan,
perusahaan komuniti dan aktiviti ekonomi setempat.

“Pengintegrasian Jelajah Warisan KL dengan The Heritage Colours Festival menzahirkan komitmen berterusan RAC dalam memelihara dan menghidupkan semula aset warisan kereta api negara,” katanya dalam kenyataan.

Tambah kenyataan, sebagai antara rangkaian kereta api tertua di Asia, warisan ini bukan sahaja mencerminkan sejarah perkembangan negara malah memainkan peranan penting dalam menghubungkan masyarakat dan membentuk identiti Malaysia.

“Melalui pelbagai program yang melibatkan pihak berkepentingan dan orang awam, RAC terus memperkukuh nilai ruang warisan agar kekal relevan, dinamik dan memberi manfaat kepada komuniti,” katanya.

Dibina pada tahun 1910, Stesen Keretapi Kuala Lumpur kekal sebagai salah satu bangunan warisan paling penting di Malaysia, terkenal dengan nilai sejarah dan keunikan seni binanya.

Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan The Heritage Colours Festival yang berlangsung secara terbuka dan percuma. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN