JERANTUT: Ketika pasaran durian tempatan menyaksikan kejatuhan harga mendadak termasuk bagi varieti Musang King, durian Damak King terbukti berada dalam kelasnya yang tersendiri apabila terus mendominasi pasaran dengan mengekalkan harga premium ‘kayangan’.
Lambakan Musang King dan Durian Premium Kampung (DPK) musim ini gagal menggugat kedudukan Damak King yang ditanam di Kampung Damak dan Kampung Ulu Cheka di sini, malah harga raja buat spesies itu dilaporkan semakin meningkat ekoran permintaan luar biasa daripada penggemarnya.
Peniaga durian di pekan Damak, Zulkifly Mahmud berkata, keunikan rasa dan kualiti Damak King menjadi benteng harganya kekal di pasaran berbanding Musang King.
“Kala durian mengalami lambakan yang memaksa harga Musang King menjunam ke paras RM8 hingga RM15 sekilogram, Damak King kebal pada harga antara RM35 hingga RM50 sekilogram dan dijangka meningkat sekiranya trend permintaan kekal melonjak,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.
Zulkifly berkata, pada musim lalu, Damak King kurang berbuah disebabkan faktor cuaca tidak menentu, bagaimanapun keadaan musim ini berbeza apabila pokok-pokok durian berbuah lebat di setiap kebun pengusaha di Kampung Damak dan Kampung Ulu Cheka.
“Keberhasilan musim ini menyaksikan Damak King mendapat permintaan ramai sehingga jauh memintas populariti baka DPK lain yang sudah dikenali sebelum ini seperti Mas Hijau, Kulit Buaya, Naga Emas dan Aji Aziz,” katanya.
Mengimbas asal-usul Damak King katanya, buah premium tersebut adalah hasil cantuman tunas baka Tok Merah yang asalnya ditanam oleh seorang penduduk tempatan.
Hasil cantuman itu menghasilkan baka Damak King yang mula ditanam oleh empat pekebun di kampung tersebut sejak 40 tahun lalu.
“Isinya berwarna jingga atau kekuningan, rasa berlemak manis, ulas tebal dan sedikit rasa pahit menjadikannya pilihan peminat tegar durian sekitar Jerantut, Pantai Timur, dan Lembah Klang.
“Lebih 2,000 biji dipasarkan setiap hari di gerai berdekatan pekan Damak dan bandar Jerantut sejak seminggu lalu,” katanya.
Peniaga durian, Loh Jek Lan, 56, memperoleh sekitar 300 biji Damak King daripada pekebun di Kampung Damak, Kampung Ulu Cheka dan Batu Balai. – UTUSAN











