KUANTAN: Seorang pekebun durian haram tidak sempat mengaut keuntungan apabila ditahan pihak berkuasa ketika cuba membawa keluar 919 kilogram durian Musang King dan D24 bernilai kira-kira RM5,000 dari Hutan Simpan Gunung Benum, semalam.
Lelaki berusia 48 tahun itu diberkas kira-kira pukul 7 pagi ketika memandu trak pikap sarat dengan buah durian hasil tanaman secara haram dalam kompartmen 91 kawasan hutan simpan berkenaan.
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Zainuddin Jamaluddin berkata, pemeriksaan mendapati hasil durian berkenaan dipercayai untuk pasaran tempatan.
“Pihak kami menyita kenderaan serta semua hasil durian yang dibawa keluar dari kawasan tersebut. Tindakan selanjutnya akan diambil mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 kerana menceroboh dan mengeluarkan hasil hutan tanpa kebenaran,” katanya.
Zainuddin memaklumkan lelaki berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan diambil, dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pegawai penyiasat JPNP.
Beliau turut mendedahkan bahawa Hutan Simpan Gunung Benum kini menjadi antara lokasi panas pencerobohan untuk aktiviti pertanian haram termasuk penanaman durian serta pokok buah-buahan lain seperti manggis, rambutan, petai dan kantan.
Dalam masa sama, satu operasi bersepadu membanteras kegiatan pencerobohan telah dilancarkan pada 21 Julai lalu yang melibatkan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa.
“Operasi ini membabitkan lebih 40 anggota gabungan termasuk daripada JPNP, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Pasukan Gerakan Am (PGA), Rela serta Pejabat Daerah dan Tanah Raub,” katanya.
Zainuddin berkata, operasi tersebut akan dijalankan secara berterusan selama 60 hari, menumpukan kepada rondaan dan pemantauan kawasan hutan simpan yang dikenal pasti sering diceroboh.
Beliau menegaskan bahawa JPNP tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati bersalah menceroboh dan mengusahakan tanah secara haram dalam kawasan hutan simpan.
“Jabatan menggesa komuniti yang tinggal berhampiran supaya tidak sewenang-wenangnya memindahkan hasil hutan atau menjalankan sebarang aktiviti tanpa kelulusan, bagi mengelakkan tindakan undang-undang,” katanya. – UTUSAN










