Harga diesel Semenanjung turun 30 sen
PETALING JAYA: Harga runcit diesel di Semenanjung diturunkan sebanyak 30 sen kepada RM4.37 seliter bagi tempoh 18 hingga 24 Jun ini.
Kementerian Kewangan berkata, penurunan daripada RM4.67 seliter itu dibuat selaras dengan formula Mekanisme Harga Automatik (APM) berdasarkan pergerakan purata harga pasaran antarabangsa pada minggu lalu.
Katanya, perkembangan positif dalam konflik Asia Barat khususnya tanda-tanda ke arah penyelesaian berkekalan turut menyumbang kepada penyederhanaan harga minyak mentah global berbanding paras tertinggi sebelum ini.
Kementerian itu berkata, beberapa risiko jangka pendek masih boleh mengekang harga minyak mentah dan produk petroleum daripada kembali ke paras sebelum konflik.
“Antaranya ialah ketidaktentuan berhubung pembukaan semula laluan perdagangan di Selat Hormuz serta gangguan bekalan yang dijangka mengambil masa berbulan-bulan untuk pulih sepenuhnya.
“Risiko rundingan damai tidak mencapai penyelesaian muktamad juga boleh mempengaruhi pergerakan harga minyak dunia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut MOF, harga runcit RON97 kekal pada RM4.35 seliter, manakala RON95 tanpa subsidi tidak berubah pada RM3.72 seliter.
Katanya, harga RON95 bersubsidi menerusi Budi Madani RON95 (BUDI95) pula dikekalkan pada RM1.99 seliter bagi lebih 14 juta penerima yang layak.
“Selain itu, harga diesel bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.
“Harga bahan api menerusi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dikekalkan pada RM2.05 seliter, manakala diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kekal RM2.15 seliter,” katanya.
Kementerian Kewangan berkata, tanggungan subsidi kerajaan berdasarkan harga pasaran semasa masih diunjurkan tinggi iaitu kira-kira RM3.5 bilion sebulan.
Daripada jumlah itu, kementerian berkata, kira-kira RM2 bilion diperuntukkan bagi subsidi RON95, manakala subsidi diesel dianggarkan berjumlah RM1.5 bilion sebulan.
“Pada harga RON95 tanpa subsidi RM3.72 seliter, penggunaan 200 liter akan menelan kos RM744.
“Namun, penerima BUDI95 hanya perlu membayar sehingga RM398 bagi penggunaan penuh kelayakan bulanan 200 liter, manakala kerajaan menanggung subsidi sehingga RM346 bagi setiap penerima,” katanya.
MOF berkata, kerajaan akan terus memastikan kebajikan rakyat dan kelangsungan operasi sektor tertentu terpelihara menerusi bantuan serta subsidi bersasar.
“Walaupun bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, rakyat diseru terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat.
“Perancangan perjalanan yang lebih cekap serta pengurangan perjalanan tidak perlu dapat membantu memanjangkan bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi,” katanya. – UTUSAN










