ALOR SETAR: Kos mengerjakan sawah berpotensi turun sekiranya harga diesel RM2.10 seliter dapat dikekalkan untuk tempoh berpanjangan dan benar-benar dinikmati pengusaha jentera pertanian yang terlibat dalam penanaman padi.
Pengerusi Badan Bertindak Petani di Kawasan MADA, Che Ani Mat Zain berkata, kadar upah pembajakan atau penuaian sedia ada amat mustahil untuk dikurangkan serta-merta kerana pengusaha jentera sudah lama menanggung kos operasi yang tinggi.
Katanya, pesawah kini masih berdepan peningkatan kos yang ketara apabila kos membajak dua kali di sesetengah kawasan meningkat daripada sekitar RM160 kepada lebih RM300 serelung atau 0.28 hektar.
“Rata-rata operator jentera pertanian membeli diesel pada harga pasaran lebih tinggi sebelum ini menyebabkan kos perkhidmatan terpaksa dinaikkan bagi menampung perbelanjaan operasi.
“Bukan senang untuk kos kembali turun walaupun diesel akan dijual pada harga RM2.10 seliter mulai minggu depan, apatah lagi kuota yang ditetapkan hanya 200 liter sedangkan jentera pertanian guna diesel jauh lebih tinggi daripada jumlah itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga diesel di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak diturunkan kepada RM2.10 seliter berkuat kuasa 1 Julai.
Katanya, langkah itu dilaksanakan menerusi pembaharuan penyasaran subsidi diesel yang seragam menggunakan mekanisme berasaskan MyKad selaras pendekatan dilaksanakan melalui Budi Madani RON95 (Budi95).
Tambah Che Ani, upah perkhidmatan traktor pula naik daripada RM120 kepada antara RM180 hingga RM200 serelung manakala kos mesin penuaian meningkat daripada RM180 kepada sekitar RM250 serelung.
Ujar beliau, kadar upah semasa diyakini akan kekal selagi tiada mekanisme khusus yang melayakkan pemilik jentera pertanian menikmati harga diesel pada harga berpatutan.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, penurunan harga diesel adalah berita baik kepada petani, namun belum ada petunjuk jelas bahawa kadar upah perkhidmatan pertanian akan kembali ke paras lama.
Beliau berkata, kadar upah yang meningkat sejak pelaksanaan penyasaran subsidi diesel sebelum ini sukar diturunkan dalam masa singkat kerana pengusaha jentera sendiri sudah lama menanggung kos operasi yang tinggi.
“Apabila kadar upah membajak atau menuai sudah dinaikkan, ia bukan mudah untuk diturunkan semula dalam tempoh singkat,” katanya.
Abdul Rashid berkata, kerajaan dicadang memperkenalkan mekanisme yang berkesan supaya manfaat penurunan harga diesel dapat dirasai semua pihak termasuk pesawah.










