Hanya 0.02 peratus Rohingya terlibat jenayah dalam dua tahun

Hanya 0.02 peratus Rohingya terlibat jenayah dalam dua tahun

MOHD. Khalid Ismail (kiri) melawat reruai pada Majlis Pelancaran Perangi Scam Dua Pasukan Satu Matlamat di Kuala Lumpur. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penglibatan etnik Rohingya dalam kegiatan jenayah di negara ini masih dianggap rendah dengan hanya 89 individu daripada kelompok berkenaan direkodkan terlibat dalam pelbagai kesalahan sepanjang tempoh 2024 hingga tahun ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail berkata, angka itu mewakili hanya 0.02 peratus daripada keseluruhan kes jenayah yang direkodkan di negara ini, sekali gus menunjukkan penglibatan komuniti berkenaan dalam kegiatan jenayah berada pada tahap yang sangat kecil.

Bagaimanapun, beliau menegaskan aspek kawalan dan pemantauan sentiasa diberi perhatian bagi mengelakkan sebarang penglibatan dalam aktiviti jenayah.

“Saya dimaklumkan oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bahawa mereka telah mendaftarkan kira-kira 215,000 pelarian Rohingya.

“Pada masa sama, kami juga mempunyai data yang dikemas kini dari semasa ke semasa dengan bantuan Jabatan Imigresen bagi tujuan pendaftaran, sekali gus membolehkan lokasi serta pekerjaan mereka dikenal pasti,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Pelancaran Perangi Scam: Dua Pasukan, Satu Matlamat di sini, semalam.

Mohd. Khalid berkata, dengan adanya maklumat tersebut, pihak berkuasa dapat mengambil tindakan pantas sekiranya berlaku sebarang jenayah yang melibatkan etnik berkenaan kerana lokasi dan maklumat berkaitan mereka berada dalam rekod.

Menurut beliau, pendekatan itu membantu pihak berkuasa menjalankan pemantauan secara lebih berkesan selain memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.

Dalam  pada itu, Mohd.Khalid berkata,  pemasangan dan pengoperasian 10,000 kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar ibu negara sejak 2020 adalah langkah terbaik membantu pihak polis dalam menjalankan siasatan.

Beliau berkata, kekuatan anggota yang ada di dalam pasukan ini tidak begitu besar, tetapi dengan kemajuan teknologi, pihak polis dapat mengenal pasti dan membantu penugasan.

“Sebab itu saya selalu menyeru di dalam pasukan penggunaan teknologi maklumat (IT) dan juga kecerdasan buatan (AI) ini perlu kita pertingkatkan dan perkemaskan,” katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, sebanyak RM500 juta dibelanjakan bagi pemasangan dan pengoperasian 10,000 CCTV bersepadu di sekitar ibu negara sejak 2020. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×