KUALA TERENGGANU: Seorang guru lelaki direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun di sebuah hotel, di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, polis menerima laporan daripada mangsa pada pukul 9.38 pagi semalam.
Katanya, mangsa mendakwa kejadian berlaku pada 4 Jun lalu kira-kira pukul 8 pagi ketika berada di sebuah hotel di Kuala Terengganu.
“Suspek yang juga bekas guru mangsa ketika di sekolah rendah dipercayai melakukan amang seksual fizikal terhadap pengadu. Bertindak atas laporan diterima, polis kemudian menahan seorang lelaki Melayu berusia lingkungan 30-an di rumahnya bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azli berkata, permohonan reman terhadap suspek dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu dan dibenarkan selama tujuh hari sehingga 21 Jun ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
“Kes turut disiasat di bawah Seksyen 15B(b) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun,” katanya.
Beliau berkata, polis kini sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.
Sementara itu, Azli berkata, sebanyak empat kertas siasatan melibatkan kes seksual terhadap kanak-kanak dibuka Polis Kuala Terengganu sepanjang tempoh 1 hingga 14 Jun lalu.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa supaya memberi pendidikan awal berkaitan gangguan seksual selain memantau pergerakan harian anak-anak bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa jenayah seksual. – UTUSAN










