GPMS gesa siasatan insiden pelajar UPM maut ketika latihan industri

GPMS gesa siasatan insiden pelajar UPM maut ketika latihan industri

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Sembilan menggesa siasatan menyeluruh, telus dan bebas dijalankan terhadap insiden meragut nyawa seorang pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) ketika menjalani latihan industri baru-baru ini.

Katanya, siasatan perlu meneliti aspek pematuhan prosedur keselamatan, penyeliaan pelatih serta tanggungjawab semua pihak yang terlibat bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Menurutnya, tragedi yang menimpa mahasiswa tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Sains dan Teknologi Alam Sekitar, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar UPM itu tidak boleh dianggap sebagai insiden terpencil.

Sebaliknya ia mesti menjadi peringatan mengenai kepentingan keselamatan pelajar sepanjang menjalani latihan industri.

“Sekiranya siasatan mendapati berlaku kecuaian atau kegagalan mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan, tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab mengikut lunas undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, latihan industri sepatutnya menjadi platform pembelajaran yang selamat untuk pelajar menimba pengalaman sebelum memasuki alam pekerjaan.

“Apabila seorang pelajar yang dihantar untuk belajar gagal pulang dengan selamat, keadaan itu menuntut penelitian semula terhadap sistem, budaya kerja dan tahap pematuhan keselamatan di tempat latihan,” katanya.

Menurutnya, institusi pendidikan perlu memastikan pemantauan berkesan terhadap pelajar yang ditempatkan di industri, manakala majikan pula bertanggungjawab menyediakan persekitaran kerja yang selamat serta bimbingan sewajarnya kepada pelatih.

Dalam pada itu, pertubuhan tersebut menggesa penguatkuasaan standard keselamatan di tempat kerja diperkukuhkan bagi memastikan pematuhan dilakukan secara konsisten dan bukan hanya selepas berlakunya tragedi.

“Tiada pencapaian yang boleh dianggap berjaya sekiranya ia dibayar dengan kehilangan nyawa yang sepatutnya dapat dielakkan.

“Tragedi ini perlu menjadi titik muhasabah kepada semua pihak agar penambahbaikan dapat dilakukan demi melindungi generasi pelajar pada masa hadapan,” katanya.

GPMS Negeri Sembilan turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka diberikan kekuatan dalam menghadapi saat sukar tersebu

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN