JOHOR BAHRU: Kesediaan Pas memberi undi kepada calon Barisan Nasional (BN) di kawasan yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) hanya akan menguntungkan Pakatan Harapan (PH).
Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man hanya akan mengeruhkan hubungan mereka dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Saya lihat, perkara ini sebenarnya beri kesan yang lebih kepada PN, sebab apa yang diumumkan oleh Pas itu adalah tikam belakang kepada kawan mereka sendiri. Ini semua memberi kelebihan kepada PH, sebabnya saya tengok PN dengan Bersatu ini berpecah walaupun mereka dalam satu gabungan.
“Saya tengok BN juga berdepan perkara yang sama, ada pertelingkahan dalam gabungan, jadi, semuanya memberi kelebihan kepada PH sebenarnya,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan Lawatan Kerja ke Kilang SDS Food Manufacturing Sdn. Bhd. di Jalan Skudai Lama, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fuziah berkata, perkara itu secara jelas membuktikan terdapat gerakan usaha kerjasama antara BN dengan Pas.
Justeru, beliau meminta pengundi di Johor menjadi pengundi bijak sebelum memilih pihak yang akan mentadbir negeri.
“Maksudnya, kalau mereka mengundi BN, mereka akan dapat Pas, mereka mengundi Pas, mereka akan dapat BN. So, fikir-fikirkanlah, anda sebagai pengundi yang bijak untuk buat keputusan,” katanya. – UTUSAN










