BANGI: Bukan sekadar menikmati hidangan popular seperti nasi kerabu, nasi dagang atau laksa Johor, pengunjung Evo Mall Bangi kini berpeluang mengembara rasa menerusi Festival Selera Warisan yang mengetengahkan pelbagai juadah tradisional dari seluruh negara, termasuk menu yang semakin jarang ditemui.
Dianjurkan secara berperingkat mengikut zon, program itu memberi peluang kepada orang ramai mengenali keunikan makanan warisan setiap negeri tanpa perlu menunggu satu festival besar yang menghimpunkan semuanya sekali gus.
Ketua Pegawai Eksekutif Evo Mall Bangi, Zetty Rahim berkata, konsep tersebut dipilih bagi memastikan setiap negeri mendapat perhatian sewajarnya selain memberi pengalaman lebih bermakna kepada pengunjung.
Menurutnya, pihak pengurusan sengaja tidak menggabungkan semua negeri dalam satu acara kerana mahu setiap siri mempunyai identiti tersendiri.
“Kalau kami buat semua sekali gus, orang akan rasa terlalu banyak pilihan dan akhirnya tidak dapat memberi tumpuan kepada keunikan setiap negeri. Sebab itu kami buat secara berperingkat. Sekurang-kurangnya orang ada banyak sebab untuk datang semula ke Evo Mall,” katanya.
Tambah beliau, masih banyak hidangan tradisional yang kurang dikenali kerana masyarakat lazimnya hanya mengaitkan sesebuah negeri dengan satu atau dua menu yang sudah sinonim.
“Contohnya Pantai Timur, ramai hanya kenal nasi dagang dan nasi kerabu, sedangkan ada banyak lagi makanan tradisional yang menarik. Begitu juga Negeri Sembilan. Ramai hanya tahu masak lemak, padahal ada pelbagai juadah lain yang tidak kurang istimewa.
“Johor pula sering dikaitkan dengan laksa Johor, tetapi sebenarnya negeri itu mempunyai banyak lagi hidangan yang wajar diketengahkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Zetty berkata, aspek harga turut menjadi keutamaan bagi memastikan lebih ramai pengunjung dapat menikmati sajian tradisional yang ditawarkan.
Katanya, sejak tahun lalu lagi, Evo Mall Bangi komited menyediakan pilihan makanan pada harga mampu milik walaupun dijual di dalam pusat beli-belah.
“Kalau set nasi bersama lauk dan hidangan sampingan, harganya sekitar RM15 hingga RM17. Kami juga memastikan kebanyakan menu tidak melebihi RM25, kecuali jika pelanggan memilih hidangan istimewa atau premium.
“Bagi kami, harga yang berpatutan sangat penting supaya semua lapisan masyarakat dapat menikmati makanan tradisional dari seluruh negara,” katanya.
Setakat ini, Program Selera Warisan telah memasuki dua siri penganjuran, bermula dengan Selera Warisan Pantai Timur yang menampilkan hidangan dari Kelantan, Terengganu dan Pahang, sebelum diteruskan menerusi Selera Warisan Selatan yang mengetengahkan sajian tradisional dari Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.
Melalui penganjuran tersebut, Evo Mall Bangi berharap dapat terus mengangkat warisan kulinari tempatan sambil memperkenalkan kepelbagaian cita rasa negeri-negeri di Malaysia kepada lebih ramai pengunjung.










