KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya dan dua lagi bekas pengarah sebuah syarikat pelancongan gagal menangguhkan pembayaran ganti rugi hampir RM500,000 selepas melakukan penipuan melibatkan umrah.
Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Leong Wai Hong memutuskan demikian selepas menolak permohonan ketiga-tiga defendan selaku pemohon untuk menangguhkan pelaksanaan perintah sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Selain Fathul Bari, dua lagi pengarah dan pemegang saham syarikat Rehla Travel Services Sdn. Bhd. (Rehla) selaku perayu ialah Sekh Mohd Fazzli Sekh Mohd Ruzi dan Wan Azizul Wan Yusoff.
Pada 9 Disember 2025, Mahkamah Tinggi sama menolak rayuan ketiga-tiga bekas pengarah itu dengan mengekalkan dapatan yang dibuat oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Sebelum ini, Mahkamah Sesyen mendapati penipuan dilakukan defendan atas alasan wang jemaah yang dibayar plaintif kepada Rehla, yang kemudiannya disalurkan kepada Malaysia Airlines Berhad (MAB), sebenarnya dipulangkan oleh MAB kepada Rehla.
Mahkamah itu juga mendapati defendan mengakui mereka menggunakan wang itu untuk tujuan peribadi dan tidak memulangkannya kepada plaintif atau jemaah.
Wang itu sepatutnya dipulangkan semula kepada jemaah haji dan umrah apabila perjalanan ke tanah suci, dibatalkan ekoran pandemik Covid-19.
Dalam keputusan hari ini, Hakim Wai Hong menyatakan tiada mana-mana mahkamah di negara ini akan membenarkan seseorang mendapat keuntungan yang diperoleh melalui penipuan.
“Kes ini sangat jelas bahawa bagi penghakiman berbentuk wang, hakikat bahawa terdapat rayuan bukanlah suatu keadaan khas yang mewajarkan penangguhan pelaksanaan.
“Walau apa pun, saya perlu menolak permohonan penangguhan kamu kerana ini merupakan suatu penghakiman berbentuk wang. Jadi, permohonan ditolak,” katanya.
Hakim itu turut berpendapat persoalan sama ada tuntutan sepatutnya dibuat terhadap MAB merupakan isu merit yang perlu diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.
“Tidak mengapa, itu adalah isu merit, dan perkara itu untuk diputuskan oleh Mahkamah Rayuan. Mahkamah rendah (Sesyen), selepas perbicaraan penuh, memutuskan bahawa anak guam kamu perlu memulangkan wang tersebut.
“Saya juga, sebagai Mahkamah Tinggi, mengekalkan penghakiman tersebut,” kata hakim itu.
Mahkamah turut memerintahkan ketiga-tiga perayu membayar kos sebanyak RM5,000 kepada KRS Travel.
Dalam prosiding itu, peguam Mohd. Shahril Madisa mewakili ketiga-tiga perayu iaitu Fathul Bari, Sekh Mohd. Fazzli dan Wan Azizul yang juga pemegang saham Rehla manakala KRS diwakili peguam Teoh Bi Shan.
Berdasarkan penghakiman bertulis hakim itu pada 11 Februari lalu, menyatakan pada Februari 2020, KRS Travel mendapatkan perkhidmatan Rehla untuk menempah dan membeli tiket penerbangan bagi pelanggan plaintif ke Madinah dan Jeddah.
Bagi tujuan itu, plaintif membayar RM492,480 kepada Rehla.
Sebagai ejen tiket bagi MAB, Rehla membuat bayaran kepada MAB untuk pembelian tiket penerbangan itu.
Pembelian itu disahkan dan MAB mengeluarkan rekod nama penumpang (PNR) bagi setiap pelanggan plaintif.
Akibat pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia, tiket dibeli plaintif dibatalkan MAB dan dalam tempoh pandemik yang sama, Rehla juga tidak beroperasi.
Plaintif berpendirian wang berjumlah RM492,480 yang dibayar kepada Rehla sepatutnya dipulangkan kepada pelanggannya.
Bagaimanapun, defendan enggan berbuat demikian dan menghujahkan Rehla hanya ejen tiket bagi MAB serta bayaran bagi tiket dibuat kepada MAB.
Susulan itu, defendan menegaskan plaintif sepatutnya mengemukakan tuntutan terhadap MAB dan bukannya terhadap Rehla, bagi mendapatkan semula wang yang dibayar untuk pembelian tiket berkenaan. – UTUSAN










