Enam bulan tidak pegang mikrofon, saya rindu - Andi Bernadee - Utusan Malaysia

Enam bulan tidak pegang mikrofon, saya rindu – Andi Bernadee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Rindu. Itulah ungkapan pertama yang terbit dari bibir penyanyi, Andi Bernadee selepas sekian lama berehat dari industri muzik demi memberi tumpuan sepenuhnya kepada kesihatannya sejak enam bulan lalu.

Andi atau Andi Azrul Andi Mapangile berkata, tempoh berehat panjang bukan sahaja memberi kesan terhadap fizikal, malah membuatkan dirinya seolah-olah perlu menyesuaikan diri semula dengan rutin sebagai penghibur.

“Enam bulan tidak pegang mikrofon. Saya rindu mahu menyanyi dan buat persembahan di hadapan orang. Sebelum hadir ke sesi pelancaran album ini pun saya rasa seperti tidak percaya.

“Saya rasa saya perlu mulakan perjalanan ini semula. Bukanlah sampai hilang ingatan ke apa, cuma bila sudah lama sangat tidak buat perkara yang biasa kita buat, mahu dapatkan semula rentak itu ambil masa sedikit,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Andi sebelum ini disahkan menghidap penyakit autoimun hypertiroid yang menyebabkan keadaan kesihatannya merosot sehingga mengganggu rutin hariannya.

Selain berat badannya turun secara mendadak, penyanyi lagu Donde itu berkata kekejangan otot, tubuh badan menggeletar dan gusi bernanah merupakan antara simptom penyakit yang dihidapnya.

“Terus terang saya cakap, saya sebenarnya dah hidup dengan benda itu hampir setahun. Tapi saya menidakkan segala simptom yang ada. Pengurus saya memang sudah cakap awal-awal, dia tanya saya ini keresahan ke apa sebab simptom itu dah lama ada.

“Tapi masa itu saya fikir lebih baik saya teruskan sahaja bekerja. Saya berlakon dan buat persembahan seperti biasa sampai satu tahap bila sudah teruk sangat baru saya sedar ini sebenarnya penyakit. Tapi Alhamdulillah sekarang keadaan makin baik. 

“Selepas raya hari itu, apabila bacaan tiroid sudah okay, saya tanya doktor boleh ke bersenam semula. Doktor kata boleh, cuma jangan terlalu ekstrem. Sekarang saya sudah mula pergi gim semula dan berat badan pun sudah kembali normal,” katanya.

 Album pertama selepas hampir sedekad dalam industri

Dalam perkembangan lain, Andi turut berjaya menghasilkan album pertama berjudul Ding Geding selepas hampir sedekad berada dalam industri muzik.

Kata Andi, pembikinan album tersebut bukanlah perjalanan yang mudah kerana mengambil masa panjang selain memerlukan komitmen besar dari segi tenaga, kreativiti dan kewangan.

“Saya rasa ini satu kejayaan untuk saya. Walaupun orang mengukur kejayaan album daripada jumlah streaming atau lagu itu dimainkan, tetapi saya sudah berjaya melalui proses pembikinan satu album ini.

“Bukannya mudah dengan macam-macam ujian yang saya lalui dari segala proses di belakang tabir. Saya amat-amat berpuas hati dengan keseluruhan album ini,” katanya.

Bagi Andi, menghasilkan album penuh selepas sembilan tahun bukan bertujuan untuk membuktikan sesuatu kepada orang lain, sebaliknya memenuhi kepuasan dirinya sendiri untuk berkarya.

“Saya sudah hampir 10 tahun dalam industri, takkan tak ada satu album pun yang kita boleh buat? Sampai bila saya mahu berada dalam zon selesa? 

“Jadi, album ini merupakan sebahagian daripada azam saya pada tahun 2026 ini, saya mahu jadi orang baharu. Saya mahu jadi Andi Bernadee yang lebih serius dalam industri muzik,” katanya.

Ditanya pendapatnya mengenai pembikinan lagu melalui teknologi kecerdasan buatan (AI), Andi menganggap kewujudan platform itu seiring dengan revolusi semasa yang digunakan dalam pelbagai sektor.

“Sebelum kewujudan AI, industri muzik seluruh negara sudah didedahkan dengan penggunaan ‘sample’ dalam pembikinan lagu. Pada saya, teknologi ini membantu memudahkan banyak perkara.

“Tidak dinafikan, zaman sekarang hampir semua industri menggunakannya. Tetapi pada saya, kita sebagai manusia ada figura dan personaliti.

“Tenang sahaja. Robot tidak boleh pegang mikrofon dan menyanyi secara langsung di hadapan peminat seperti kita. Kita perlu tahu nilai diri di mana,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN