GEORGE TOWN: Empat lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyertai perhimpunan menyalahi undang-undang yang menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki dalam kejadian di Jelutong, minggu lalu.
Tertuduh, R. Nahveen Raaj, 34; S. Logakumaran, 31; M. Sanjit Kumar, 38, dan K. Dineskumar, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama empat lagi individu yang masih bebas didakwa menjadi anggota perhimpunan yang menyalahi undang-undang dan salah seorang daripada kumpulan tersebut telah menyebabkan kecederaan parah ke atas Mohamed Umar Sheriff Mohamed Ameen, 31, di Tokong Hean Seng Kong, Jelutong pada pukul 4.25 pagi, 21 Jun lalu.
Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong bagaimanapun, memohon mahkamah untuk tidak membenarkan jaminan dengan alasan kes tersebut serius dan mendapat perhatian meluas masyarakat. Katanya, mangsa utama juga masih menerima rawatan di hospital selain terdapat risiko tertuduh melarikan diri, mengganggu saksi atau mengugut mangsa sekiranya dibebaskan.
Beliau turut memaklumkan bahawa polis masih memburu empat lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan, selain siasatan terhadap seorang lagi mangsa yang cedera dalam insiden sama masih diteruskan.
Pada masa ini, hanya satu pertuduhan dikemukakan, namun satu lagi pertuduhan berkaitan mangsa kedua dijangka difailkan selepas siasatan selesai.
Bagaimanapun, peguam, V. Parthipan yang mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan diberikan dengan alasan anak guamnya mempunyai alamat tetap, pekerjaan serta tanggungan keluarga di Pulau Pinang.
Peguam itu turut memberi jaminan anak guamnya bersedia mematuhi syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport, melapor diri di balai polis berhampiran dan tidak menghubungi mangsa atau saksi.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Irwan menolak permohonan jaminan dengan mengambil kira risiko tertuduh melarikan diri atau mengganggu mangsa serta saksi, khususnya apabila salah seorang mangsa masih dirawat di hospital. Mahkamah turut menetapkan 28 Ogos depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan penuh.
Kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham antara mangsa dan sekumpulan lelaki di sebuah pusat hiburan itu berlaku apabila mangsa dituduh mencuri telefon bimbit. Namun, siasatan polis mendapati, dakwaan tersebut tidak berasas setakat ini.
Kumpulan terbabit didakwa mengekori mangsa ke tokong berkenaan sebelum menyerangnya dengan parang. – UTUSAN










