KEMAMAN: Syarikat peruncitan emas, Emas Sri Semantan, membuka cawangan baharu di Kemaman di sini sebagai sebahagian daripada usaha memperluaskan rangkaian operasinya di Pantai Timur.
Pembukaan premis yang merupakan cawangan ke-17 syarikat itu diraikan dalam satu majlis perasmian yang dihadiri pihak pengurusan, kakitangan, rakan perniagaan serta pelanggan.
Dalam ucapannya, pihak pengurusan Emas Sri Semantan berkata, perkembangan syarikat sehingga berjaya membuka cawangan baharu merupakan hasil sokongan pelbagai pihak sejak penubuhannya.
Menurutnya, perjalanan syarikat bukanlah sesuatu yang mudah kerana berdepan pelbagai cabaran sepanjang membangunkan perniagaan dalam industri emas.
“Setiap pencapaian yang diraih hari ini adalah hasil usaha berterusan serta kepercayaan yang diberikan oleh pelanggan, kakitangan dan rakan perniagaan kepada kami,” katanya.
Beliau berkata, selain memperluaskan rangkaian perniagaan, syarikat turut memberi perhatian kepada usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan emas sebagai antara aset yang boleh dijadikan simpanan nilai dan sebahagian daripada perancangan kewangan jangka panjang.
Katanya, syarikat percaya pemilikan emas yang disertai ilmu dan kefahaman yang betul mampu membantu pengguna membuat keputusan kewangan dengan lebih bijak.
“Kami bukan sahaja mahu menjalankan perniagaan, malah berharap dapat berkongsi pengetahuan mengenai pengurusan emas serta menggalakkan amalan pemilikan yang lebih bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata, syarikat juga komited untuk terus menyumbang kepada pembangunan industri emas tempatan melalui perkongsian pengalaman serta amalan perniagaan yang beretika.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja, pelanggan dan rakan strategik yang menjadi antara penyumbang kepada perkembangan syarikat sehingga kini.
Menurutnya, pembukaan cawangan di Kemaman diharap dapat memudahkan pelanggan di daerah itu serta kawasan sekitar mendapatkan akses kepada perkhidmatan yang ditawarkan.
Majlis itu diakhiri dengan gimik perasmian cawangan baharu sebagai simbolik permulaan operasi Emas Sri Semantan di Kemaman.
Pembukaan cawangan tersebut merupakan sebahagian daripada perancangan syarikat untuk terus mengembangkan rangkaian operasinya di beberapa lokasi strategik di seluruh negara.










