KANGAR: Kedudukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis masih berjalan seperti biasa, disebalik terlerainya hubungan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan berkata, pada masa ini, pihaknya menanti arahan lanjut daripada Pas Pusat berhubung status kerajaan Perikatan Nasional (PN) negeri.
“Saya sedang menanti arahan selanjutnya daripada Pas Pusat dan DUN Perlis juga masih berjalan seperti biasa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Mesyuarat Pas pusat kelmarin bersetuju menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu selepas meneliti kedudukan dan hala tuju hubungan tersebut berdasarkan laporan, kajian dan penilaian semasa.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas akan meneroka suatu persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya demi penyatuan ummah termasuk menerima hasrat tokoh-tokoh akademik, profesional, pemimpin politik dan aktivis masyarakat untuk menyertai parti itu
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri Haziq Asyraf Dun berkata, pihaknya juga sedang menantikan arahan selanjutnya daripada Pas pusat sebelum sebarang tindakan diambil.
Kata Ketua Pemuda Pas negeri itu, mereka juga bersedia sepenuhnya untuk menjadi pemudah cara bagi meneroka suatu bentuk persefahaman politik baharu (electoral pact).
Beliau percaya ia penting dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan memastikan agenda penyatuan ummah lebih tulen dan menyeluruh dapat dicapai.
“Pemuda Pas negeri menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi terhadap keputusan Pas pusat yang memutuskan hala tuju baharu kerjasama politik parti itu demi maslahah dan penyatuan ummah,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh saf kepimpinan pemuda di semua peringkat kawasan dan cawangan supaya taat dan thiqah kepada keputusan Pas pusat tersebut.
“Oleh demikian, seluruh saf kepimpinan pemuda di semua peringkat kawasan dan cawangan di Perlis perlu sentiasa merapatkan saf, memantapkan jentera dan memfokuskan tenaga kepada gerak kerja mendepani cabaran politik semasa,” katanya.-UTUSAN










