PAGOH: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengiringi Datuk Dr. Sahruddin Jamal ke pusat penamaan calon di Kompleks Sukan Pagoh, sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, kira-kira pukul 8.50 pagi.
Ratusan penyokong PN dilihat hadir seawal pagi bagi memberikan sokongan.
Laungan dan sorakan penyokong Perikatan Nasional (PN) bergema dengan jelas apabila mereka melaungkan slogan “Hidup PN” dan “Bersatu Demi Johor” ketika rombongan calon dalam suasana penuh semangat.
Pertembungan tiga penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong dijangka berlangsung sengit membabitkan penyandang, Sahruddin Jamal mewakili PN, Ahmad Syarie Yusof Barisan Nasional (BN) serta C. Subramani daripada Pakatan Harapan (PH).
Calon Pakatan Harapan, C. Subramani turut tiba lebih awal diiringi Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R. Yuneswaran bersama kira-kira 60 penyokong yang setia menunggu di lokasi.
Sementara itu, Ahmad Syarie pula hadir sekitar pukul 8.55 pagi bersama puluhan, penyokong BN yang membawa bendera parti masing-masing.
Sebelum ini, pada PRN Johor ke-15, DUN Bukit Kepong dimenangi oleh Datuk Dr. Sahruddin Jamal (9,873 undi) daripada Bersatu dengan majoriti 710, mengalahkan calon BN, Ismail Mohamed (9,163); calon Muda, Nurafiqah M. Zulkifli (8,975) dan calon Pejuang, Md. Taib Md. Suhut (162).
Pengundian awal ditetapkan pada 7 Julai, manakala hari pengundian 11 Julai.-UTUSAN










