Dua wanita warga emas ditipu sindiket gores, menang - Utusan Malaysia

Dua wanita warga emas ditipu sindiket gores, menang

MOHD. Alwi Zainal Abidin menunjukkan barang rampasan selepas menahan lima suspek terlibat sindiket penipuan gores dan menang membabitkan mangsa warga emas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis berjaya menumpaskan sindiket penipuan gores dan menang yang menyasarkan warga emas selepas menahan lima suspek dalam serbuan di Melaka dan Selangor, Jumaat lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, tangkapan itu dibuat susulan laporan polis yang diterima membabitkan dua wanita warga emas berusia 62 tahun.

Katanya, kedua-dua mangsa yang bekerja sebagai tukang cuci itu mengalami kerugian sebanyak RM77,600.

“Bertindak atas maklumat, lima suspek termasuk dua wanita berusia 22 hingga 40 tahun ditahan dalam serbuan berasingan di Melaka dan Selangor.

“Dalam serbuan itu, beberapa barang dirampas termasuk sembilan unit telefon bimbit dan kad sim, satu unit tablet dan 16 keping baucar cabutan bertuah yang dianggarkan bernilai RM10,000,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.

Menurut Mohd. Alwi, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.

“Kesemua suspek kini direman selama empat hari bermula 20 hingga 23 Jun bagi membantu siasatan,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, dalam kejadian pada 3 Oktober 2025 di sebuah pasar raya di Ipoh, mangsa didatangi dua lelaki dan seorang wanita yang memaklumkan mahu memberi hadiah kepada mangsa menerusi cabutan bertuah.

Katanya, mangsa kemudian dibawa masuk ke dalam kenderaan dan diminta untuk memusing roda cabutan bertuah sebelum memenangi jongkong emas seberat 150 gram.

“Bagi memperoleh jongkong emas tersebut, mangsa juga diminta menyerahkan subang, rantai leher dan cincin emas yang dipakai untuk ditimbang.

“Mangsa turut diminta menyerahkan nombor PIN dan kad ATM kononnya bagi menerima hadiah wang tunai.

“Suspek kemudian menghilangkan diri dan mangsa mendapati RM600 telah dikeluarkan daripada akaun banknya, menjadikan jumlah kerugian keseluruhan kira-kira RM18,600,” katanya.

Dalam kes berasingan, Mohd. Alwi berkata mangsa menerima panggilan daripada suspek kononnya wanita itu telah memenangi hadiah hamper cabutan bertuah pada 14 Jun lalu.

Katanya, mangsa diminta untuk datang ke Stesen Bas Taiping bagi mengambil hadiah tersebut dan mangsa telah diminta untuk menekan roda cabutan bertuah yang ditunjukkan dalam tablet.

“Mangsa dikatakan telah memenangi hadiah jongkong emas seberat 100 gram tanpa menyedari ia adalah palsu. Bagi memperoleh hadiah tersebut, mangsa diminta menyerahkan barang kemas dan mengalami kerugian kira-kira RM59,000,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN