Dua anggota tentera didakwa angkut tiga migran diseludup

Dua anggota tentera didakwa angkut tiga migran diseludup

MOHD Zulhilmi Aqwa A. Rahman dan Mohamad Johan Iskandar Shah Jeffry Pidin dituduh mengangkut migran warga Myanmar yang diseludup di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Dua anggota tentera didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengangkut migran warga Myanmar yang diseludup di Bukit Kayu Hitam, bulan lalu.

Tertuduh, Mohd. Zulhilmi Aqwa A. Rahman, 34, dan Mohamad Johan Iskandar Shah Jeffry Pidin, 26, mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Sharmila Abdul Samad.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Zulhilmi didakwa mengangkut dua migran lelaki warga Myanmar yang diseludup iaitu Binajo, 19, dan Antoi, 29, menggunakan kereta jenis Toyota Yaris.

Mohamad Johan Iskandar pula dituduh melakukan kesalahan sama membabitkan seorang lagi migran lelaki warga Myanmar yang diseludup iaitu Win Shwe, 61, dengan menggunakan kereta Perodua Bezza.

Perbuatan didakwa dilakukan kedua-dua mereka di Check Point Foxtrot Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam kira-kira pukul 7.13 malam, 22 Mei lalu. 

Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurfatin Mastura Asri, manakala tertuduh, Mohd. Zulhilmi diwakili peguam, Datuk G. Shanmugam sementara Mohamad Johan Iskandar tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh dan mahkamah menetapkan 17 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN