Dr. Haim Hilman kekal perjuang akses pendidikan tinggi berasas merit

Dr. Haim Hilman kekal perjuang akses pendidikan tinggi berasas merit

HAIM HILMAN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Ahli Exco Kerajaan Negeri Kedah, Dr. Haim Hilman Abdullah akan terus memperjuangkan hak anak-anak Malaysia untuk mendapat akses kepada pendidikan tinggi secara adil dan berasaskan merit tanpa mengira kaum serta latar belakang.

Beliau berkata, perjuangan yang dibawanya adalah demi memastikan golongan kurang berkemampuan termasuk dalam kalangan semua bangsa serta rakyat di Sabah dan Sarawak mendapat peluang pendidikan yang saksama.

“Saya memperjuangkan hak anak-anak miskin khususnya tanpa mengira bangsa untuk mendapat akses kepada pendidikan tinggi secara adil dan berdasarkan merit.

“Hari ini saya dituduh dengan perkara yang pada saya perlu terus dibongkar kerana saya mempersoalkan polisi dan dasar kemasukan universiti yang berbeza untuk anak bangsa kita sendiri,” katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Seremban hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan dengan niat menyebabkan kebimbangan kepada awam berhubung isu kemasukan pelajar ke universiti awam (UA).

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nurul Saqinah Rosli.

Mengikut pertuduhan, Haim Hilman sebagai Orang Kena Saman (OKS) didakwa membuat kenyataan dengan niat menyebabkan kebimbangan yang mendorong melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Markas Pas Seremban, Jalan Jelebu di sini, antara pukul 8 malam hingga 12 tengah malam pada 13 Jun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu berkata, usaha memperjuangkan keadilan pendidikan demi semua rakyat Malaysia akan diteruskan walaupun berdepan pelbagai cabaran.

“Saya kekal istiqamah untuk memperjuangkan perkara ini demi keadilan pendidikan buat anak-anak Malaysia dan demi keadilan untuk semua rakyat Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN