PETALING JAYA: Dialog dan diplomasi mesti terus menjadi asas dalam menangani pelbagai konflik serta ketegangan geopolitik ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Malaysia kekal berpegang bahawa keamanan yang berkekalan hanya dapat dicapai melalui rundingan, persefahaman dan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa.
“Saya turut menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, digital, sains dan teknologi, kecerdasan buatan (AI), tenaga, keterjaminan makanan, industri halal serta hubungan antara rakyat.
“Kerjasama ini bertujuan menjana manfaat lebih besar kepada negara-negara ASEAN dan Persekutuan Russia,” katanya ketika menyampaikan Kenyataan Negara sempena Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia hari ini.
Menyentuh perkembangan di Asia Barat, Anwar sekali lagi mengulangi pendirian Malaysia yang menuntut agar keganasan di Gaza dihentikan serta-merta selain bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa halangan.
Katanya, hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan mereka sendiri juga perlu terus dipertahankan.
“Malaysia mengecam perluasan tindakan ketenteraan rejim Zionis Israel ke Lubnan serta mengutuk sebarang serangan terhadap Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).
“Saya percaya ASEAN dan Russia mempunyai ruang yang luas untuk memperkukuh kerjasama berasaskan hormat, manfaat bersama serta komitmen terhadap keamanan, kestabilan dan kemakmuran sejagat,” katanya. – UTUSAN










