‘Golongan elit tentukan perjalanan negara sudah berlalu, ini masa marhaen’

‘Golongan elit tentukan perjalanan negara sudah berlalu, ini masa marhaen’

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor (kiri) semasa menjadi salah seorang panel dalam audio siar Anak Muda sempena Muktamar Pas ke-72 di PUTIK, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Masa untuk golongan elit menentukan perjalanan negara sudah berlalu dan sudah sampai masanya golongan marhaen bangkit menentukan nasib negara bangsa.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, ramai orang di negara ini hidup miskin manakala golongan elit atau kaya hanya mewakili 10 peratus daripada rakyat Malaysia.

Katanya, bagaimanapun pada masa kini sebanyak 75 hingga 80 peratus kekayaan negara menjadi milik golongan yang hanya mewakili 10 peratus rakyat di negara ini.

“90 peratus rakyat Malaysia berkongsi hanya 25 peratus daripada kekayaan negara dan saya rasa ini tidak adil. Jadi masa untuk orang marhaen menentukan nasib kita.

“Hang (kamu) jangan serahkan nasib hang kepada orang elit. Depa (mereka) tak faham kita,” katanya dalam rancangan audio siar Anak Muda sempena Muktamar Pas Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa, di sini malam tadi.

Menteri Besar Kedah itu berkata, golongan-golongan elit tidak akan memahami bahasa percakapan harian yang digunakan oleh orang-orang marhaen apatah lagi untuk memahami jiwa serta kehidupan yang dilalui mereka.

Katanya, sebab itu ramai golongan elit yang marah apabila mendengar beliau sendiri menyebut istilah-istilah harian mewakili marhaen yang agak kasar sehingga disalah tafsir sebagai kurang ajar, samseng atau maki-hamun.

“Depa tak nak guna dan depa tak bergaul dengan kita pun untuk mendengar bila kita kata ‘mampus cabut’ itu biasa dalam perbualan harian marhaen, begitu juga ‘biar mampus belah halilintar’.

“Depa ni (golongan elit) ayam daging, mana nak faham semua. Jadi marhaenlah sepatutnya menentukan perjalanan negara ini sebab orang marhaen lebih ramai jumlahnya, yang berkongsi sebahagian kecil kek ekonomi. Patut ubah struktur negara ini, tak boleh biar,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, beliau bukan bermaksud mengata anak ahli Parlimen yang masih boleh memahami jiwa marhaen tetapi anak-anak golongan elit yang disifatkan ‘beranak dalam jelapang padi’ atau ‘beranak dalam kepuk’.

“Mereka yang beranak dalam jelapang padi atau dalam kepuk beras ini, dia tidak faham orang susah. Dia berlakon sahaja memahami tetapi dia tidak faham. Jadi saya bercakap, memimpin dan mengendalikan sesuatu perkara dari perspektif orang susah (marhaen),” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×