'Dia keluar tergesa-gesa, kebiasaannya akan salam' - Utusan Malaysia

‘Dia keluar tergesa-gesa, kebiasaannya akan salam’

SUASANA sayu di Unit Forensik Hospital Gerik ketika waris mangsa kemalangan maut, Zuraida Abu Bakar menunggu proses bedah siasat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Seorang lelaki tidak menyangka tindakan isterinya yang tergesa-gesa keluar rumah untuk menghadiri kursus tanpa sempat bersalaman, menjadi petanda bahawa mereka sekeluarga bakal kehilangan wanita itu.

Hazrul Jalaluddin, 45, berkata, tindakan isterinya, Zuraida Abu Bakar, 47, itu menimbulkan tanda tanya sedangkan ia merupakan rutin kebiasaan mereka sejak mendirikan rumah tangga 20 tahun lalu.

“Semalam, selain isteri perlu menghadiri kursus di Lenggong bersama guru-guru lain, saya juga ke Ipoh untuk menghadiri mesyuarat. Cuma dia keluar rumah dulu daripada saya.

“Kebiasaannya, dia akan salam dan cium, tapi semalam dia keluar secara tergesa-gesa dan bila saya hubungi, dia kata nak cepat kerana tumpang rakan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Gerik di sini hari ini.

Zuraida yang merupakan guru di Kolej Vokasional Gerik maut selepas kereta jenis Honda Odyssey yang dinaiki bersama lima rakan terlibat nahas di Kilometer 29.3, Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu, di sini semalam.

Dalam kejadian yang dilaporkan pada pukul 5.10 petang itu, pemandu Toyota Vios, Inspektor Melvindar Singh Gamum Singh, 41, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu turut maut di lokasi kejadian.

Hazrul berkata, sejak beberapa hari sebelum kejadian, dia seolah-olah dapat merasakan sesuatu yang tidak kena sehingga terdetik di hati akan kehilangan isterinya.

Katanya, perubahan pada wajah isterinya turut menimbulkan rasa pelik selain sikap wanita itu yang tidak membantah apabila dia mengajak keluar menunggang motosikal bersama.

“Saya tengok muka dia lain, bila dia tidur saya rasa sayu. Dia pun tak bantah bila saya ajak ‘ride’. Selalu dia beri alasan tak larat tapi kali ini bila hujan pun dia ikut juga,” katanya.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, dia mengetahui kejadian yang menimpa isterinya selepas dimaklumkan oleh seorang guru yang juga pengerusi Masjid Nurussalam, Batu 4, Gerik.

Katanya, kehilangan isterinya amat dirasai oleh tiga anak mereka yang berusia antara 12 hingga 19 tahun, khususnya anak perempuan bongsu yang paling manja dan akrab dengan arwah.

“Nak cakap okay tak pun, mereka kena tabah tambahan lagi mereka memang manja dengan mamanya,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN