Dewan Rakyat lulus pindaan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak

Dewan Rakyat lulus pindaan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak

M. KULASEGARAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026 diluluskan Dewan Rakyat hari ini bagi memastikan pelaku jenayah seksual tidak akan terlepas daripada diambil tindakan walaupun kesalahan dilakukan di luar negara.

RUU berkenaan diluluskan dengan suara majoriti selepas dibahaskan oleh 25 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang semalam sekali gus memperluaskan bidang kuasa Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) meliputi kesalahan yang dilakukan di luar negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran berkata, pindaan bagi memperluaskan pemakaian luar wilayah itu akan memastikan pelaku yang mempunyai kaitan dengan Malaysia tidak terlepas daripada tindakan undang-undang hanya kerana kesalahan dilakukan di luar negara.

Bagaimanapun, katanya, pindaan itu tidak bermaksud Malaysia akan secara automatik mengambil alih semua kes berlaku di luar negara.

“Negara tempat sesuatu kesalahan berlaku kekal mempunyai bidang kuasa utama untuk menjalankan siasatan dan pendakwaan mengikut undang-undang masing-masing.

“Sekiranya laporan dibuat di kedua-dua negara, pihak berkuasa akan berunding dan bekerjasama melalui saluran kerjasama antarabangsa bagi menentukan tindakan yang paling sesuai berdasarkan fakta kes, keterangan, lokasi saksi dan kepentingan keadilan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan pindaan RUU Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Media semalam melaporkan cadangan pindaan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) bertujuan memastikan Malaysia tidak berdepan kekangan bidang kuasa dalam mengambil tindakan terhadap pelaku jenayah seksual kanak-kanak walaupun kesalahan berlaku di luar negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan berkata, langkah itu selaras dengan usaha memperkukuh perlindungan terhadap kanak-kanak daripada jenayah seksual rentas sempadan, selain memastikan akta itu kekal relevan susulan perubahan landskap jenayah seksual.

“Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 menyediakan suatu kerangka perundangan yang kukuh bagi menangani pelbagai bentuk kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.

“Walau bagaimanapun, pengalaman pelaksanaannya menunjukkan bahawa terdapat keperluan untuk memperkukuh peruntukan berkaitan pemakaian luar wilayah atau ‘extra-territorial jurisdiction’.

“Namun, perkembangan semasa menunjukkan bahawa skop itu perlu diperluaskan. Persoalannya, adakah perlindungan undang-undang Malaysia harus terhenti hanya kerana kesalahan dilakukan di luar negara atau pelaku berada di luar bidang kuasa Malaysia? Kerajaan berpendapat bahawa jawapannya mestilah tidak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN