KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini bertukar kecoh selepas berlaku pertikaman lidah antara ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang berhubung isu dakwaan serta sentimen negatif.
Kekecohan itu berlaku apabila Mohd. Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) mengemukakan soalan tambahan yang menyentuh tindakan pihak tertentu yang didakwa gemar membuat andaian buruk terhadap kerajaan serta melontarkan label tidak wajar bagi meraih sokongan politik.
Katanya, ketika kempen pilihan raya sebelum ini terdapat pelbagai dakwaan yang disebarkan termasuk yang menyentuh isu agama, bangsa dan institusi negara.
“Kalau kita tengok isu-isu di luar ini, dulu dalam kempen-kempen pilihan raya, kita dengar macam-macam.
“Contohnya, kalau andai kata (Datuk Seri) Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri, nanti tidak boleh sembahyanglah, budak-budak tak boleh pakai tudunglah, kena pakai skirtlah, Islam, Melayu terancamlah, raja-raja terancamlah.
“Jadi saya nak tanya, apa mekanisme digunakan untuk membendung fahaman dan sentimen jahat yang menular dan dilakukan pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab ini untuk tidak memberikan sokongan, untuk mendapatkan undi dan juga untuk menakutkan rakyat dalam negara kita,” katanya.
Bagaimanapun, kenyataan itu dibantah oleh ahli Parlimen pembangkang yang menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai keterlaluan dan tidak pernah diungkapkan.
Beberapa ahli Parlimen pembangkang turut bangun mendesak Mohd. Sany agar menarik balik kenyataannya, manakala Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36(6) dengan menyifatkan ia sebagai tuduhan tidak berasas serta menuntut permohonan maaf.
Bagaimanapun, Mohd. Sany enggan menarik balik kenyataan beliau, sebaliknya menegaskan dakwaan itu pernah dilontarkan oleh pihak pembangkang dalam kempen pilihan raya sebelum ini. – UTUSAN










