SERDANG: Demi menunaikan tanggungjawab sebagai anak sulung, penyanyi Fiq Halim memilih untuk menetap di Sandakan, Sabah bagi menjaga ibunya, Noraini Sikin yang kini semakin berusia.
Menurut Fiq atau Mohammad Firdaus Abdul Halim, keputusan itu dibuat sejak empat tahun lalu selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dan dia hanya akan berulang-alik ke Kuala Lumpur apabila mempunyai urusan seni atau menerima tawaran persembahan.
“Sekarang saya hanya datang ke Kuala Lumpur jika ada tawaran menyanyi atau urusan rakaman lagu. Jika tiada sebarang urusan di sini, saya akan berada di Sabah untuk menjaga emak.
“Bapa sudah lama meninggal dunia dan kini hanya emak yang masih ada. Saya pula belum berkahwin serta merupakan anak sulung daripada lima beradik.
“Alhamdulillah, di Sabah saya masih aktif menyanyi dan menerima banyak tawaran persembahan. Dalam sebulan, biasanya saya memperoleh sekitar tiga persembahan dengan bayaran yang berpatutan.
“Walaupun tidak menerima bayaran yang terlalu tinggi, saya bersyukur kerana rezeki dalam bidang nyanyian sentiasa ada. Buat masa ini, saya menyanyi sepenuh masa dan tidak melakukan pekerjaan lain selain menerima tawaran persembahan,” katanya.
Fiq berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran lagu dan muzik video Gila yang dinyanyikannya secara trio bersama Aepul Roza dan Aweera di Astana Putra, Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini baru-baru ini.
Mengulas mengenai kerjayanya di Kuala Lumpur, Fiq berkata, dia masih menyimpan barangan peribadinya di kediaman rakan dan bersyukur kerana sentiasa dipelawa untuk menginap di rumah mereka setiap kali mempunyai urusan di ibu negara.
“Tiada masalah untuk saya berulang-alik antara Sabah dan Kuala Lumpur kerana sebahagian barangan peribadi masih berada di bilik rumah sewa yang pernah saya diami bersama rakan-rakan sebelum ini.
“Saya juga masih belum membawa pulang semua barang ke Sabah. Jadi, saya merasakan lebih baik untuk tinggal bersama emak dan menjaganya kerana hati saya lebih tenang serta tidak terlalu risau apabila keluar bekerja.
“Saya anggap ini sebagai peluang untuk membalas jasa dan berbakti kepada emak selagi dia masih ada. Allah memberi peluang kepada saya untuk menjaganya dan saya amat bersyukur.
“Cuma saya berharap orang ramai dapat mendoakan agar kerjaya seni saya terus berkembang dan rezeki dalam bidang ini tidak putus,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Fiq bakal bergandingan dengan Aweera dan Aepul Roza menerusi Konsert Trilogi yang dijadual berlangsung pada 18 Julai ini di Astana Putra, UPM. -UTUSAN










