KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) memperuntukkan dana berjumlah RM464,400 yang memberi manfaat secara langsung kepada 605 penerima merangkumi program bantuan pendidikan dan insentif kecemerlangan akademik bagi tahun 2026.
Daripada jumlah itu, RM166,000 diperuntukkan kepada 159 penerima melalui bantuan melanjutkan pengajian ke universiti awam (UA) dan universiti luar negara.
Selain itu, RM298,400 disalurkan kepada 446 pelajar cemerlang melalui Insentif Akademik Anugerah Kecemerlangan Pendidikan (AKP) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 sebagai pengiktirafan khas serta suntikan motivasi.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, walaupun tanggungjawab kementerian memastikan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mempertahankan kedaulatan negara, kesejahteraan anggota dan keluarga turut diberi perhatian.
Beliau berkata, salah satu elemen penting kesejahteraan adalah pendidikan anak-anak kerana ia memberi semangat kepada anggota yang bertugas apabila masa depan anak-anak terjamin.
Katanya, pendidikan menjadi kunci utama dalam meningkatkan taraf hidup serta martabat keluarga ATM melalui kejayaan anak-anak dalam bidang pendidikan.

“Apabila kita memberi perhatian kepada pendidikan anak-anak, ia juga merupakan tanda penghargaan kepada anggota tentera atas kesetiaan dan pengorbanan mereka kepada negara.
“Kecemerlangan pendidikan anak-anak ini adalah hadiah terbaik kepada ibu bapa yang merupakan anggota ATM dan anugerah kecemerlangan ini adalah antara cara kita merakamkan penghargaan kepada mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan ATM 2026 di Wisma Perwira ATM semalam.
Mohamed Khaled berkata, Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bertanggungjawab sepenuhnya dalam menyelaras inisiatif pendidikan, program intervensi akademik serta menyediakan struktur sokongan pembangunan kerjaya bagi kecemerlangan masa depan anak-anak warga kerja MINDEF dan ATM.
Katanya, kejayaan cemerlang penerima AKP 2026 turut didorong oleh keberkesanan program intervensi bersasar yang digerakkan secara berkala termasuk Program e-Perkasa SPM dan Program Sentuhan Elit SPM yang terbukti meningkatkan kompetensi intelek serta pencapaian akademik pelajar secara sistematik dan berfokus.
“Pelaksanaan agenda pendidikan berskala besar ini selaras dengan Fokus Keenam Kementerian Pertahanan Tahun 2026 yang meletakkan kebajikan dan pemerkasaan sosioekonomi warga pertahanan sebagai teras utama.
“Melalui pengupayaan ekosistem pendidikan inklusif, MINDEF bertekad membuka ruang mobiliti sosial yang lebih luas bagi generasi muda komuniti pertahanan,” katanya.
Dalam majlis sama, Mohamed Khaled menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan SPM kepada 181 pelajar yang mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM 2025 sebagai pengiktirafan terhadap usaha, disiplin dan pencapaian akademik anak-anak warga pertahanan.
Beliau turut menyampaikan Bantuan Universiti Awam kepada 32 penerima dan Bantuan Universiti Luar Negara kepada lima penerima yang akan melanjutkan pengajian ke menara gading.
Inisiatif itu bertujuan meringankan beban kewangan keluarga warga pertahanan serta memastikan kesinambungan pendidikan generasi pelapis negara.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Yayasan LTAT, Datuk Dr. Mohd. Nizar Sudin berkata, penganjuran Anugerah Kecemerlangan Pendidikan (AKP) 2026 merupakan bentuk pengiktirafan dan penghargaan kepada pelajar dalam kalangan anak-anak ATM yang memperoleh keputusan cemerlang SPM 2025 serta mereka yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi, sama ada di dalam mahupun luar negara.
Katanya, inisiatif tersebut turut mencerminkan penghargaan kepada warga ATM dan keluarga mereka, selain menjadi usaha berterusan Yayasan LTAT dalam memperkasa aspek pendidikan sebagai antara fokus utama kebajikan anggota tentera.
“Fokus utama Yayasan LTAT ialah kebajikan dan kemenjadian anak-anak anggota tentera. Dengan mandat yang diberikan oleh MINDEF, kita akan melaksanakan program pendidikan, kemahiran dan kebajikan secara berterusan.
“Insentif yang diberikan diharap dapat menjadi lonjakan motivasi kepada pelajar untuk terus cemerlang dalam pelajaran serta menjadi contoh kepada keluarga dan generasi pertahanan akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, penerima Anugerah Kecemerlangan SPM, Harith Irfan Hairul Nizam merakamkan penghargaan kepada MINDEF, ATM dan Yayasan LTAT atas penganjuran program serta inisiatif pendidikan termasuk kelas tambahan yang disediakan.

“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada MINDEF, Yayasan LTAT dan ATM kerana menyediakan program inisiatif pendidikan seperti ini dan memberi tuisyen yang amat membantu dalam proses pembelajaran.
“Kemudahan kelas tambahan tersebut banyak membantu pelajar, khususnya dalam kalangan pelajar Maktab Tentera Diraja Malaysia yang mempunyai kekangan masa pembelajaran,” katanya.
Seorang lagi pelajar, Muaz Nazmi Monarizzal berkata, sumbangan bantuan yang diberikan MINDEF dan Yayasan LTAT diharap dapat diteruskan bagi membantu pelajar universiti awam dan universiti luar negara dalam meringankan beban mereka.

“Saya ambil jurusan Bahasa Melayu di Institut Perguruan (IPG) Tawau, Sabah. Saya sangat bersyukur kerana bukan mudah untuk sampai ke tahap ini. Saya telah berusaha bersungguh-sungguh dan bantuan ini menjadi motivasi untuk saya terus belajar dan berjaya,” katanya.
Bagi pelajar perubatan Universiti Malaya, Putri Ahlam Haneen Hapidi pula, beliau meluahkan rasa syukur atas bantuan diterima selepas melalui usaha gigih dalam pengajian.

“Bantuan ini akan digunakan untuk simpanan dan keperluan pembelajaran. Saya mungkin akan menyimpan wang ini atau gunakan untuk kelengkapan pengajian.
Bantuan yang diberikan MINDEF dan Yayasan LTAT ini amat membantu untuk memastikan kelangsungan pengajian bagi anak-anak warga MINDEF dan ATM,” katanya. – UTUSAN









