Calon DUN Endau intai kemenangan hatrik

Calon DUN Endau intai kemenangan hatrik

ALWIYAH ketika hadir untuk proses penamaan calon pagi tadi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

KERUSI Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau antara yang menjadi tumpuan sebelum ini apabila penyandangnya ALWIYAH TALIB meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kembali menyertai UMNO awal bulan lalu, diumum sebagai calon mewakili Barisan Nasional (BN) bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Keadaan ini sekaligus mencetuskan tanda-tanya sejauh mana kemampuannya mempertahankan kerusi dimenangi atas tiket Bersatu buat penggal ketiga. Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemuramah beliau bagi mendapatkan perspektifnya.

Disenaraikan sebagai calon kali ketiga selepas keluar Bersatu, adakah kali ini saingan lebih sukar?

Tidak dinafikan ada bezanya kali ini. Apatah lagi saya pernah menang bersama BN ketika bertanding pertama kali di DUN Endau dan kemudian menang pula atas tiket Bersatu. Pada masa itu saya pembangkang.

Bayangkan ketika itu, banyak suara rakyat tidak didengari dan pelbagai perkara yang dirancang tidak dapat dilaksanakan sebaiknya. Malah, sebagai pembangkang pada masa itu, kekangan, termasuk kesukaran untuk menjalankan program di sekolah. Namun, pengalaman itu memberi banyak pengajaran kepada saya.

Menyertai semula BN selepas keluar daripada Bersatu dan kemudian terus tercalon sekali lagi mewakili komponen itu, adakah ia satu bebanan yang lebih berat ?

Alhamdulillah, saya sudah lali dengan keadaan politik semasa. Saya tidak lagi berasa terbeban selepas kembali menyertai BN. Niat saya hanya satu, iaitu untuk terus berkhidmat kepada rakyat di DUN Endau.

Bagaimana pula dengan penerimaan akar umbi sebaik nama diumumkan menjadi calon sekali lagi atas tiket BN ?

Saya mendapat sokongan dan restu daripada akar umbi. Mereka terus memberikan kepercayaan dan tidak berganjak untuk bersama saya dalam PRN ini.

Saingan empat penjuru di DUN Endau dilihat sengit. Adakah yakin mampu mengekalkan kemenangan hatrik kali ini?

Dalam demokrasi, ia perkara biasa. Saya percaya setiap calon akan membawa agenda masing-masing demi kesejahteraan DUN Endau dan akhirnya pengundilah yang akan menilai kemampuan setiap parti.

Ini adalah peluang untuk saya meneruskan usaha yang masih belum selesai di DUN Endau. Jika diberi mandat sekali lagi, masih banyak perkara yang ingin saya laksanakan, khususnya dalam aspek pembangunan dan pendidikan.

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempertikaikan pencalonan ini, apa komen?

Saya tidak melihat kenyataan Mohd Puad itu sebagai usaha untuk menjatuhkan saya. Saya yakin pemilihan calon ini dibuat berdasarkan pertimbangan terbaik demi kepentingan rakyat di kawasan saya. Fokus dan azam saya adalah untuk memastikan DUN Endau menjadi lebih maju dengan adanya sebuah kerajaan yang stabil selepas PRN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN