BESUT: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah Perodua Axia di Kampung Bukit Kenak di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Mohd. Rozaime Ab. Rahim berkata, kemalangan kira-kira pukul 11.30 malam itu mengakibatkan mangsa, Wan Julaini Wan Noh maut di lokasi kejadian.
“Siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikal jenis Modenas Dinamik yang ditunda sebuah motosikal lain akibat kerosakan.
“Ketika proses menunda motosikal tersebut, sebuah kereta jenis Perodua Axia dari arah yang sama merempuh bahagian belakang motosikal itu,” katanya di sini hari ini.
Katanya, pelanggaran itu mengakibatkan mangsa terseret kira-kira 50 meter dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala serta anggota badan.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Besut untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Beliau memandang serius kejadian itu dan memberi peringatan kepada semua ibu bapa serta penjaga supaya tidak membenarkan anak-anak bawah umur menunggang motosikal kerana perbuatan tersebut satu kesalahan di sisi undang-undang serta berisiko mengundang kemalangan. – UTUSAN










