KUALA LUMPUR: Ruang yang sepatutnya berfungsi sebagai kawasan bumbung namun telah diubah menjadi beberapa bilik kediaman tanpa kelulusan pihak berkuasa.
Kesalahan itu antara yang dikesan menerusi Op Sarang Burung yang dijalankan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sebanyak tiga lokasi di bangunan berasingan di sekitar Jalan Tun H S Lee diperiksa bermula kira-kira pukul 10 pagi tadi.
Utusan Malaysia yang menyertai operasi itu difahamkan binaan bilik haram itu terletak di atas bumbung (rooftop) bangunan tiga hingga empat tingkat.
Laluan setiap tingkat juga dipantau kamera litar tertutup (CCTV) selain keadaan laluan bertangga yang gelap malah menggunakan pintu jeriji besi yang berkunci dan hanya boleh diakses individu tertentu.
Pemeriksaan JBPM di ‘rooftop’ bangunan terbabit mendapati terdapat binaan baharu selain beberapa struktur dipercayai dalam proses pengubahsuaian sebagai bilik. Ruang itu juga turut menempat binaan tandas.
Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Ibu Pejabat JBPM, Datuk Norazam Khamis berkata, operasi iitu dilaksanakan di bawah Operasi Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK) dengan kerjasama agensi penguatkuasaan bagi memastikan premis mematuhi keperluan keselamatan kebakaran dan melindungi nyawa penghuni.
Katanya, modus operandi pembinaan haram ini adalah sama iaitu dibina tanpa kelulusan pihak DBKL.
“Kami mengesan binaan di ‘rooftop’ ini tidak sesuai dan tindakan sitaan ke atas tiga premis telah diambil dengan menyerahkan notis kepada pemilik premis agar tindakan perobohan diambil dalam tempoh tujuh hari.
“Jika gagal berbuat demikian, pihak DBKL akan mengambil tindakan ke atas binaan haram terbabit,” katanya selepas operasi berkenaan.
Turut hadir Pengarah Bomba Kuala Lumpur, Hassan ‘As’ari Omar.
Norazam berkata, terdapat 27 unit bilik di tiga premis terbabit yang dijadikan penginapan yang mana setiap bilik boleh didiami lebih daripada dua penghuni.
Tambahnya, bilik itu juga didapati dijadikan tempat memasak yang merisikokan kepada kejadian kebakaran.
“Harga sewa bergantung kepada saiz bilik. Ada bilik yang dicaj RM400 dan paling murah RM200 dan ini merupakan perangkap maut kerana material binaan menggunakan bahan mudah terbakar seperti plywood dan bahan kayu.
“Saiz bilik dianggarkan keluasan 6×4 sehingga 10×10 kaki persegi yang mana rata-rata penghuni merupakan warga asing,” ujarnya.
Menurutnya, dipercayai setiap premis terdapat individu yang ditangungjawabkan untuk menyelia bilik penginapan terbabit.
Jelasnya, premis yang diubah suai tanpa kelulusan dan tidak mematuhi kehendak keselamatan kebakaran boleh menyebabkan penghuni terperangkap, menyukarkan operasi menyelamat dan meningkatkan risiko kematian apabila berlaku kebakaran.
Tindakan diambil mengikut Seksyen 8 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341). – UTUSAN










