BN PH sepakat elak serangan sepanjang kempen PRN Johor

BN PH sepakat elak serangan sepanjang kempen PRN Johor

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENUT: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mencapai persefahaman untuk tidak melancarkan serangan antara satu sama lain sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi memastikan proses demokrasi berlangsung secara matang dan berhemah.

 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendekatan itu dipersetujui semua parti dalam Kerajaan Perpaduan yang mengutamakan kepentingan lebih besar di peringkat nasional meskipun bertanding sesama sendiri di Johor.

 

Menurut beliau, kepimpinan parti memahami keperluan mengekalkan hubungan baik dan mengelakkan kempen bersifat menyerang, sebaliknya memberi tumpuan kepada memperkenalkan calon serta menawarkan khidmat kepada rakyat.

 

“Ya kita berkawan dan berlawan dalam gelanggang yang sama, dengan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat. Namun, kesefahaman itu telah kita tanamkan supaya kita tidak serang pihak lawan walaupun berbeda pandangan dan pendapat untuk Johor.

 

“Kerana kita harus melihat pada gambaran lebih besar di peringkat nasional nanti. Ini sangat difahami oleh kepimpinan utama parti-parti yang berada di dalam Kerajaan Perpaduan. 

 

“Saya harap di Johor, pendekatan untuk tidak menyerang mana-mana parti yang tidak bersama apatah lagi untuk mempromosikan calon-calon kita, biar ia dibuat dengan penuh kesantunan dan hemah,” katanya ketika ditemui selepas majlis makan tengah hari bersama calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut, Datuk Mohd. Sumali Reduan, di sini hari ini.

 

Mengulas dakwaan kononnya BN menjalinkan kerjasama dengan parti lain pada PRN Johor, Ahmad Zahid menafikan perkara itu dan menegaskan gabungan tersebut kekal dengan pendirian bertanding secara solo.

 

Katanya, keputusan meletakkan calon di semua 56 kerusi DUN membuktikan BN tidak menggunakan lambang mana-mana parti lain.

 

“Saya tidak dengar tentang itu, mungkin perbincangan diadakan di peringkat bawahan dan hakitkatnya, apabila disebut daripada awal oleh Onn Hafiz bahawa kita mahu bergerak solo, terbukti kita letakkan calon di kesemua 56 kerusi DUN.

“Tiada seorang pun calon kita yang menggunakan lambang daripada parti lain. Mungkin ada perbincangan di peringkat lapisan ketiga atau keempat sebab politik, mesti ada perbincangan dengan beberapa kemungkinan,” katanya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN