PETALING JAYA: Rata-rata pelarian Rohingya terpaksa menunggu tempoh lama bagi mendapatkan dokumen pengenalan diri yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini.
Bagi komuniti Rohingya, sekeping kad UNHCR bukan sekadar dokumen pengenalan diri tetapi lambang pengiktirafan, keselamatan dan peluang untuk membina semula kehidupan yang lebih bermaruah selepas sekian lama hidup dalam ketidakpastian.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar pejabat UNHCR di Jalan Bukit Petaling di sini mendapati ramai pelarian sudah berkumpul seawal pagi. Mereka hadir dengan membawa salinan permohonan pengenalan diri yang dibuat secara dalam talian, yang turut mengandungi maklumat ketibaan di negara ini.
Di tepi jalan dan bawah redup pokok, kelihatan ibu-ibu mendakap erat anak kecil yang belum mengerti erti kesusahan. Ada yang duduk berjam-jam menahan lelah, manakala sebahagian lagi sanggup beratur di bawah terik mentari, hanya untuk menunggu sebuah jawapan yang mungkin mampu mengubah masa depan mereka.
Bagi Norshimin Ali Hosson, 22, perjalanan ke Kuala Lumpur bukan sekadar perjalanan biasa. Bersama suami dan bayi lelaki mereka yang berusia 10 bulan, dia menaiki kereta sewa dari Ipoh seawal pukul 3 pagi demi mengejar sebuah harapan.
Walaupun belum menerima sebarang panggilan daripada UNHCR berhubung status permohonan yang dibuat secara dalam talian, wanita muda itu tetap nekad mencuba nasib.
“Sudah lima tahun saya dan suami memohon kad UNHCR, tetapi sehingga hari ini kami belum menerima panggilan. Kami tiba di Malaysia pada 2021 selepas meredah lautan dengan menaiki bot demi mencari perlindungan.
“Suami saya hanya bekerja sebagai buruh kasar dengan pendapatan sekitar RM45 sehari. Wang tambang RM300 untuk menyewa kereta dari Ipoh dikumpul sedikit demi sedikit. Walaupun susah, kami tetap datang kerana masih berharap,” katanya.
Sehingga Februari lalu, seramai 215,600 pelarian dan pencari suaka direkodkan berdaftar dengan UNHCR di Malaysia.
Berdasarkan data UNHCR, kumpulan terbesar terdiri daripada warga Myanmar, dengan etnik Rohingya mewakili 193,824 orang, diikuti etnik Chin seramai 15,774 orang dan 33,002 individu daripada pelbagai etnik lain.
Kesemua mereka meninggalkan tanah air yang bergolak akibat konflik berpanjangan, keganasan dan penindasan yang mengancam keselamatan hidup.
Bagi Mohammed Salman, 19, impian untuk memulakan kehidupan baharu di negara ketiga mungkin satu-satunya jalan keluar daripada penderitaan yang dialami.
“Kalau boleh, kami mahu pulang ke Myanmar kerana itu tanah air kami. Tetapi keadaan di sana masih terlalu berbahaya dan kami sentiasa dibayangi ancaman Junta Myanmar.
“Masalah terbesar sekarang ialah kami tidak mempunyai kad UNHCR. Tanpa dokumen itu, segala urusan menjadi rumit dan masa depan kami terus tergantung tanpa kepastian,” katanya.
Nasib yang sama turut dikongsi Mohamad Shahidullah Ali Hussen, 18, yang bekerja sebagai pekerja pembersihan.
Baginya, tempoh tiga tahun menunggu dokumen pengenalan diri UNHCR bukan sahaja memenatkan, malah menimbulkan keresahan yang sukar digambarkan.
“Saya sudah berkali-kali datang ke UNHCR, tetapi permohonan belum diluluskan. Setiap kali saya diberitahu perkara yang sama, iaitu perlu menunggu panggilan telefon daripada pihak mereka.
“Masalahnya, saya sudah menunggu selama tiga tahun,” katanya.
Tarek Ullah Nur Bashar, 21, pula meluahkan rasa sedih apabila masyarakat sering mengaitkan pelbagai masalah sosial dengan komuniti Rohingya.
“Apabila berlaku sesuatu kejadian, nama Rohingya sering disebut terlebih dahulu. Sedangkan tidak semua yang melakukan kesalahan itu daripada etnik kami.
“Ada juga yang berasal dari Bangladesh atau etnik lain dari Myanmar. Namun kerana wajah kami hampir sama, kami sering menjadi mangsa persepsi dan stigma,” luahnya.
Sementara itu, Mohamad Enous Shona Mya, 31, berkata, masa depan generasi muda Rohingya turut menjadi kebimbangan utama apabila ramai kanak-kanak tidak berpeluang mengikuti pendidikan formal akibat status mereka sebagai pelarian.
Menurutnya, terdapat sekolah komuniti yang diwujudkan sendiri oleh warga Rohingya di rumah-rumah sewa sekitar Ampang bagi memastikan anak-anak mereka tidak terus tercicir daripada pendidikan.
“Guru-gurunya juga dalam kalangan warga Rohingya yang mengajar Bahasa Inggeris, Bahasa Arab dan al-Quran.
“Namun, kebanyakan pelajar hanya belajar ketika masih kecil. Apabila meningkat usia remaja, ramai yang berhenti kerana pelbagai kekangan,” katanya. – UTUSAN










