Bersatu bukan ‘anak tangga’ kepada PH

Bersatu bukan ‘anak tangga’ kepada PH

MOHAMAD Hanifah Abu Baker
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dakwaan bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjadi ‘anak tangga’ kepada Pakatan Harapan (PH) merupakan cubaan memutar belit fakta sejarah demi kepentingan politik semasa.

Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker berkata, Setiausaha Politik kepada Presiden Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman perlu menghentikan tuduhan dan kenyataan yang didakwa bersifat memfitnah parti berkenaan.

Katanya, Bersatu tidak mungkin menjadi alat kepada PH kerana parti itu sendiri menarik sokongan daripada kerajaan gabungan berkenaan sehingga menyebabkan pentadbiran tersebut tumbang pada 2020.

“Jika benar Bersatu mahu menjadi tangga kepada PH, mengapa Bersatu yang menarik sokongan daripada kerajaan PH sehingga kerajaan tersebut tumbang pada tahun 2020?

“Fakta sejarah tidak boleh dipadam sesuka hati. Selepas kejatuhan PH, Bersatu menghulurkan tangan kepada Pas dan UMNO untuk membentuk kerajaan baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Hanifah berkata, hasil langkah tersebut, Pas buat pertama kali menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan dan memegang kuasa pentadbiran di Putrajaya.

Katanya, ketika itu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah dituduh sebagai ejen atau ‘anak tangga’ kepada PH, malah dipuji kerana mengutamakan perpaduan ummah.

Katanya, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut dipuji kerana berani membuat keputusan yang dikatakan bertujuan menjamin kestabilan negara.

“Hari ini apabila hubungan politik berubah, tiba-tiba sejarah hendak ditulis semula. Mereka yang dahulu dipuji kini cuba digambarkan sebagai pengkhianat.

“Rakyat bukan mudah lupa dan rakyat juga bukan bodoh untuk menerima pembohongan yang diulang berkali-kali,” katanya.

Beliau berkata, sokongan Bersatu kepada calon UMNO menerusi Akuan Bersumpah (SD) bagi membentuk kerajaan di Negeri Sembilan membuktikan parti itu tidak berpihak kepada PH.

Katanya, perkara tersebut menafikan dakwaan bahawa Bersatu menjadi alat atau ‘anak tangga’ kepada gabungan berkenaan.

“Tuduhan ini hanyalah cubaan terdesak untuk menutup kegagalan sendiri dan mengalihkan perhatian ahli Pas daripada persoalan yang lebih besar.

“Jangan kerana mahu mencari alasan politik baharu, fakta sejarah dikorbankan dan fitnah dijadikan senjata,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN