KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli diminta untuk berhenti meracuni pemikiran anak muda Malaysia dengan mengadu domba mengenai kononnya berlaku kerosakan sistem yang melampau.
Ketua Srikandi Keadilan, Nurhidayah Che Rose berkata, kalau betul Rafizi Ramli prihatin kepada anak muda, berapa dan mana perginya program ekonomi untuk anak muda yang Rafizi perkenalkan dan berapa banyak peluang pekerjaan sampingan yang beliau wujudkan untuk anak muda.
“Oleh kerana ingin mendapat undi dan sokongan anak muda menjelang PRU16 dengan memperkudakan anak-anak muda mentah yang teruja melihat perjuangan palsu, Rafizi Ramli cuba memutar-belitkan fakta dengan mendakwa sistem telah rosak.
“Padahal, semua kami anak muda di PKR tahu bahawa Rafizi Ramli semasa berada dalam PKR juga memberikan banyak harapan palsu kepada anak muda seperti gaji minimum dan harga kereta MyVi lebih murah, selain mengajar kami politik fitnah dan adu domba,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.
Dalam Podcast YBM Episod 52, Rafizi Ramli mendakwa bila satu generasi muda bertanya “buat apa aku bersusah-payah”, itu bukan tanda mereka rosak. Itu tanda sistem yang sudah rosak.
Ramai yang cepat melabel generasi muda hari ini sebagai malas, lembik dan manja, kata Rafizi yang berpendapat beliau tidak melihatnya begitu.
Hari ini, kata Rafizi, keadaan sudah terbalik kerana seseorang boleh bekerja 18 jam sehari dan hidupnya hampir tidak berubah dengan kurang satu peratus daripada penduduk benar-benar berjaya naik ke kelas yang lebih tinggi dan selebihnya bekerja sekadar cukup makan.
Mengulas lanjut, Nurhidayah berkata, sebagai anak muda, beliau tidak bersetuju dengan dakwaan Rafizi bahawa generasi muda yang mempersoalkan masa depan mereka merupakan bukti bahawa sistem negara telah rosak.
Katanya, sekiranya beliau benar-benar prihatin terhadap nasib anak muda, rakyat berhak mengetahui apakah inisiatif dan program ekonomi yang telah diperkenalkan bagi meningkatkan pendapatan, memperluas peluang pekerjaan serta memperkukuh kedudukan ekonomi golongan muda.
“Lebih penting, apakah hasil dan impak yang telah berjaya dicapai melalui usaha-usaha tersebut?
“Anak muda tidak memerlukan naratif yang menggambarkan sistem sebagai telah rosak. Sebaliknya, kami memerlukan penyelesaian yang praktikal, peluang yang lebih luas serta dasar yang berkesan untuk menjamin masa depan yang lebih baik,” katanya.
Jelasnya, pemimpin wajar dinilai berdasarkan rekod pencapaian, keberkesanan dasar dan hasil yang dibawa kepada rakyat, bukannya melalui retorik politik semata-mata. – UTUSAN










