PETALING JAYA: Membeli rumah kini menjadi pilihan yang lebih menjimatkan berbanding menyewa di beberapa kawasan utama negara, dengan perbezaan kos lebih RM1,000 di Jalan Kuching, Kuala Lumpur.
Menurut data terkini yang dikeluarkan oleh Juwai IQI, kos bulanan untuk memiliki rumah melalui pembayaran gadai janji kini lebih rendah berbanding kadar sewa bagi beberapa jenis hartanah di lokasi tertentu, sekali gus mencerminkan perubahan ketara dalam pasaran perumahan Malaysia.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, trend tersebut memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk mempertimbangkan pembelian rumah sebagai alternatif yang lebih berbaloi dari segi kewangan.
“Jika anda mampu berpindah ke rumah empat bilik tidur di Jalan Kuching, Kuala Lumpur, anda boleh menjimatkan sehingga RM1,372 setiap bulan.
“Jika kadar sewa dan kos gadai janji kekal stabil, jumlah penjimatan itu boleh melebihi RM164,000 dalam tempoh 10 tahun,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, bilangan kategori hartanah yang menawarkan kos pemilikan lebih rendah berbanding sewa meningkat daripada 18 kategori pada 2024 kepada 29 kategori pada 2026.
“Pada masa sama, jumlah kawasan kejiranan yang masih memihak kepada penyewa susut sebanyak 29 peratus, daripada 34 kawasan pada 2024 kepada hanya 24 kawasan pada masa ini,” katanya.
Data Juwai IQI menunjukkan apartmen empat bilik tidur di Jalan Kuching menawarkan penjimatan bulanan tertinggi apabila kos gadai janji hanya RM3,644 sebulan berbanding kadar sewa RM5,016 sebulan.
Selain itu, apartmen tiga bilik tidur di Bukit Bintang turut menunjukkan kelebihan kepada pembeli dengan kos gadai janji RM4,379 sebulan berbanding sewa RM5,214, menghasilkan penjimatan RM835 setiap bulan.
Di Johor Bahru, kawasan Tampoi turut tersenarai apabila rumah empat bilik tidur menawarkan penjimatan RM775 sebulan, manakala studio di kawasan sama membolehkan pembeli menjimatkan RM427 setiap bulan berbanding penyewa.
Kawasan lain yang menunjukkan kelebihan kepada pembeli termasuk Subang Jaya, Iskandar Puteri dan Petaling Jaya.
Kashif berkata, sebanyak 12 kategori hartanah yang sebelum ini lebih menguntungkan untuk disewa telah berubah memihak kepada pembeli dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, disebabkan kadar sewa meningkat lebih pantas berbanding harga rumah atau kos pembiayaan.
Walau bagaimanapun, ujarnya, tidak semua kawasan menunjukkan trend yang sama.
“Sebanyak 24 daripada 59 kategori hartanah yang dianalisis masih menawarkan kelebihan kepada penyewa, khususnya dalam segmen hartanah mewah.
“Di KLCC, misalnya, kos gadai janji bagi apartmen dua bilik tidur dianggarkan RM6,185 sebulan, jauh lebih tinggi berbanding kadar sewa purata RM4,463 sebulan.
“Situasi serupa turut berlaku di George Town, Pulau Pinang, di mana kos pemilikan masih melebihi kos sewa antara RM771 hingga RM804 sebulan bergantung kepada jenis unit.
“Data menunjukkan hartanah yang lebih mahal cenderung mempunyai kos pemilikan yang lebih tinggi berbanding sewa. Pembeli bukan sahaja membayar untuk potensi pulangan sewa, tetapi juga untuk lokasi premium, kekurangan bekalan dan status pemilikan,” katanya.
Kajian tersebut membandingkan keadaan pasaran pada Februari 2024 dan Februari 2026 melibatkan 59 kombinasi lokasi serta jenis unit kediaman di seluruh negara.
Kos gadai janji dikira berdasarkan kadar faedah tahunan 4.5 peratus, tempoh pinjaman 30 tahun dan bayaran pendahuluan 10 peratus, selaras dengan kadar pinjaman perumahan semasa di Malaysia.
Juwai IQI berkata, analisis tersebut hanya mengambil kira perbandingan antara bayaran gadai janji bulanan dan kadar sewa semasa, tanpa memasukkan faktor kenaikan nilai hartanah, kos deposit, penyelenggaraan atau perbelanjaan lain yang berkaitan dengan pemilikan dan penyewaan rumah.
Bagi keluarga yang telah lama menunggu masa sesuai untuk membeli rumah, Ansari berkata keadaan pasaran ketika ini memberikan peluang yang lebih baik, terutama di kawasan yang menunjukkan jurang ketara antara kos sewa dan kos pemilikan.
“Bagaimanapun, pembelian rumah masih memerlukan modal awal dan tidak semestinya sesuai untuk semua orang. Namun bagi mereka yang bersedia dan berada di lokasi yang tepat, angka semasa jelas memihak kepada pembeli,” katanya. –UTUSAN










