Bekas pengurus projek berstatus bangkrap didakwa atas 207 pertuduhan

Bekas pengurus projek berstatus bankrap didakwa atas 207 pertuduhan

TANG Wee Tat (tengah) diiringi oleh anggota polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jawi di Nibong Tebal, Pulau Pinang atas 207 pertuduhan berkaitan memasuki kontrak serta menggunakan jawatan pengarah syarikat bagi urusan perniagaan.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Seorang bekas pengurus projek yang berstatus bankrap dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jawi di sini hari ini atas 207 pertuduhan berkaitan memasuki kontrak serta menggunakan jawatan pengarah syarikat bagi urusan perniagaan.

Tertuduh, Tang Wee Tat, 62, yang juga bapa kepada dua orang anak, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Nurul Ainna Ahmad.

Mengikut enam pertuduhan pertama, lelaki terbabit didakwa menandatangani masing-masing enam ‘Letter of Award’ atau Surat Setuju Terima sebagai Pengarah Global Max Resources Sdn Bhd dengan Lien Dak Engineering Sdn Bhd di Batu Kawan antara 10 Mei 2023 hingga 21 Ogos 2023.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut tanpa memberitahu Lien Dak Engineering Sdn. Bhd. bahawa dia adalah seorang bankrap yang belum dilepaskan oleh Ketua Pengarah Insolvensi atau mahkamah sebelum menjalankan perniagaan atau memasuki kontrak tersebut.

Selain itu, tertuduh juga didakwa menandatangani 201 surat-menyurat rasmi syarikat menggunakan jawatan sama bagi menjalankan urusan perniagaan antara 26 November 2021 hingga 6 Mei 2024 di lokasi yang sama seperti enam pertuduhan awal.

Atas kesalahan itu, dia didakwa telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 109(1)(m)(ii) Akta Insolvensi 1967 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Penyiasat Jenayah, Bahagian Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan, Inspektor Ain Najwa Abdul Nasser manakala tertuduh diwakili peguam, K. Thangesvaran.

Ketika prosiding, Ain Najwa menawarkan wang jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan terhadap tertuduh, namun, Thangesvaran mahu mahkamah mengurangkan wang jaminan tersebut memandangkan anak guamnya telah berstatus bankrap sejak sembilan tahun yang lalu.

Dalam rayuannya, Thangesvaran berkata, tertuduh juga perlu menyara isterinya yang tidak bekerja selain perlu mendapatkan rawatan secara berkala di hospital kerana menghidap penyakit buah pinggang.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM60,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 28 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan serahan dokumen.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN