SHAH ALAM: Bekas pegawai Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) yang dituduh dengan 158 pertuduhan rasuah semalam, berdepan hukuman denda setengah bilion ringgit atau RM500 juta, sekiranya disabitkan bersalah.
Tertuduh, Fakhrudin Abd. Karim, 57, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan rasuah berjumlah RM98.27 juta antara 2021 hingga tahun lalu.
Tertuduh mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan atas semua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan lebih dua jam.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pegawai badan awam iaitu anggota Ikram merupakan penandatangan yang diberi kuasa kepada akaun bank milik Ikram Hulu Selangor, didakwa menggunakan kedudukan untuk suapan bagi diri sendiri dan sekutunya iaitu syarikat Ehsan Care Solution.
Tertuduh didakwa mengambil tindakan mengarahkan transaksi pemindahan dana ke dalam akaun bank yang dirinya mempunyai kepentingan melibatkan transaksi wang antara RM100,000 hingga RM10 juta dengan keseluruhannya berjumlah RM98,270,315.20.
Secara pecahan, 149 transaksi berjumlah RM81.95 juta ke akaun Ehsan Care Solution manakala sembilan transaksi sebanyak RM16,320,315.20 ke akaun bank milik tertuduh.
Semua perbuatan itu dilakukan di Pejabat Pertubuhan Ikram Hulu Selangor, Bukit Beruntung antara 6 Januari 2021 hingga 6 Ogos 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.
Sabit kesalahan memperuntukkan penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Datuk Ahmad Akram Gharib menawarkan jaminan minimum RM1 juta dengan mengambil kira faktor kepentingan awam dan nilai suapan.
Pendakwaan turut memohon syarat tambahan iaitu serahan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Peguam Datuk N. Sivananthan memohon jumlah jaminan dikurangkan berikutan pembekuan semua akaun bank termasuk milik keluarga anak guamnya.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM500,000 dengan dua penjamin dan semua syarat tambahan dikemukakan pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 7 Ogos ini. – UTUSAN










